Malaysia Dateline

Ziarah Ramadan, AMANAH Demak Laut santuni keluarga asnaf

Parti AMANAH Negara Cawangan Demak Laut telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada beberapa keluarga golongan asnaf sempena Program Ziarah Ramadan semalam.

Timbalan Pengerusinya, Khairul Nikman Julaihi berkata, program Ziarah Ramadan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah pun bermula sebelum menjelang bulan Ramadan tempoh hari.

Katanya, antara pengisian program ialah menyampaikan sumbangan air mineral kepada beberapa masjid dan surau serta pengagihan kurma di kampung-kampung sekitar Demak Laut.

“Kita akan terus mengisi Program Ziarah Ramadan dengan menyantuni dan menyampaikan sumbangan berupa makanan asas kepada keluarga golongan asnaf yang terpilih selepas ini.

“Untuk program ini, kita telah menyampaikan sumbangan kepada beberapa penerima di Kampung Senari,” jelasnya.

Ujar Nikman, selepas ini program berkenaan akan diteruskan di kampung lain dalam kawasan DUN Demak Laut sehingga penghujung Ramadan kali ini.

“Semoga dengan sumbangan yang kita sampaikan itu, sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga penerima lebih-lebih lagi dalam keadaan yang sukar akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan sekarang.

“Ini ditambah lagi dengan kos harga barang makanan dan keperluan yang semakin meningkat naik sekali gus membebankan ramai rakyat yang berpendapatan rendah dan bekerja sendiri.

“Malah, semasa menyantuni dan menyampaikan sumbangan, rata-rata mereka (keluarga asnaf) mengeluh dan kecewa kerana sangat terbeban dengan kos barang keperluan yang mendadak naik di pasaran,” tegas beliau lagi.

Untuk itu, tambahnya AMANAH Demak Laut telah menyusun beberapa program lain yang bertujuan supaya sumbangan ini diteruskan dari masa ke semasa dan bukan hanya semasa dalam bulan Ramadan sahaja.

“In shaa Allah…kita akan meneruskan program ini dari masa ke semasa dan bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja.

“Dan sebelum ini, sememangnya program ini telah dilaksanakan tetapi tidak menyeluruh di semua kampung…semoga dengan rezeki yang kita terima hasil daripada sumbangan badan bukan kerajaan (NGO) dan perseorangan akan mampu membantu keluarga asnaf yang lain nanti,” jelasnya.