Malaysia Dateline

Ziarah raya ahli politik langgar SOP, 4 lagi dipanggil polis

Polis memanggil empat lagi individu bagi membantu siasatan berhubung ziarah raya yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di rumah seorang ahli politik di Machang, Kelantan baru-baru ini.

Ini menjadikan keseluruhan sembilan individu telah diambil keterangan setakat ini dan semua mereka memberikan kerjasama yang baik, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris.

“Dalam pada itu, polis juga menjangkakan mengambil keterangan daripada beberapa lagi individu bagi membantu siasatan,” lapor Bernama hari ini.

Pada 19 Mei lalu, lima individu telah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung aktiviti ‘ziarah raya’ membabitkan seorang ahli politik selepas polis menerima laporan daripada orang awam berkaitan perkara itu, pada 15 Mei.

Laporan dibuat berdasarkan penyebaran beberapa keping gambar ahli politik melanggar SOP PKP dengan mengadakan ziarah raya, selain kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2021.