Zii Jia berada di landasan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo

Zii Jia berada di landasan untuk ke Sukan Olimpik Tokyo

Pemain muda badminton negara, Lee Zii Jia berada di landasan tepat untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun, berdasarkan kepada prestasi semasanya yang cemerlang, kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Katanya pemain berusia 20 tahun itu dilihat berpotensi untuk beraksi bersama-sama jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei di Sukan Olimpik nanti.

“Kelayakan Sukan Olimpik akan bermula pada 1 Mei tahun depan dan kalau boleh kita mahu letak dua hingga tiga pemain bagi setiap acara untuk beraksi di Olimpik. Saya rasa seorang daripadanya ialah Zii Jia. Kita ada Chong Wei dan Zii Jia dan BAM akan cari seorang lagi pemain untuk bersama-sama beraksi.

“Saya pun ada berbincang dengan ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek selepas Siri Jelajah Dunia 300 Korea Masters mengenai Zii Jia dan seperti saya cakap dia merupakan seorang pemain yang sangat berpotensi namun kita memerlukan perancangan yang teliti untuk merealisasikan hasrat ini,” katanya kepada media selepas majlis penyerahan sumbangan tajaan bas oleh Bank Rakyat kepada BAM, di sini hari ini.

Zii Jia yang dilabelkan oleh Misbun sebagai ‘calon pengganti Lee Chong Wei’ merangkul kejuaraan pertamanya musim ini selepas memenangi Terbuka Taiwan pada 7 Okt lepas, sekali gus menamatkan penantian 14 tahun negara.

Namun, hasrat Zii Jia untuk merangkul kejuaran keduanya musim ini tidak kesampaian selepas tewas kepada pemain tuan rumah, Son Wan Ho di pentas akhir Siri Jelajah Dunia 300 Korea Masters, pada Ahad.

Terdahulu pada majlis berkenaan, BAM menerima sebuah bas Scania yang diserahkan oleh Pengarah Urusan/Presiden Bank Rakyat Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid.

Bas tersebut mampu menjimatkan badan induk itu kira-kira RM100,000 setahun dari segi kos pengangkutan pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ke Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara.

“Ini merupakan kali pertama BAM memiliki bas sejak penubuhannya. Ia akan digunakan bagi memudahkan pengangkutan pelajar dari SSBJ ke ABM yang kita jangkakan sebanyak 100 kali setiap tahun dan ia juga memudahkan dari segi kita membawa pemain ke lapangan terbang dan venue kejohanan. Ini akan memberikan penjimatan kewangan kepada BAM.

“Kita juga merasakan ini satu kemudahan yang sangat meringankan beban kewangan BAM. Sumbangan dari Bank Rakyat ini kalau kita terjemahkan dalam bentuk nilai wang, sekitar RM250,000 dan penajaan ini akan berjalan selama dua tahun,” katanya.

Mohamad Norza berkata sepanjang dua tahun ini, BAM akan bekerjasama dengan Bank Rakyat dalam melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat seperti klinik badminton kepada kakitangan Bank Rakyat dan Kelab Nuri iaitu kelab bagi remaja bawah 18 tahun yang mempunyai simpanan dengan Bank Rakyat.

— BERNAMA