Perkongsian terbaru Janna Nick yang menangis teresak-esak ketika sedang membuat siaran langsung di TikTok kelmarin, mengundang rasa simpati netizen.
Janna berkata, dia sedang berdepan keadaan paling sukar kerana bipolar dihadapinya semakin merunsingkan sejak disahkan mengalami gangguan bipolar dua tahun lalu dan ia berkemungkinan disebabkan perubahan pola tidur.
“Saya bahagia, tiada masalah. Cuma, ada masalah dengan diri sendiri. Otak saya bising sangat hari ini. Paling teruk yang saya hadapi,” katanya.
Menurutnya, waktu tidur dan berehat sejak kebelakangan ini agak tidak teratur kerana perlu menjalani penggambaran, di mana ada kalanya dia terpaksa tidur pada jam 8 pagi atau 2 petang.
“Jadi waktu tidur saya bercelaru. Mungkin otak saya tak boleh terima. Nak tidur enam jam tapi otak saya berperang. Dia paksa saya fikir benda-benda kritikal. Buat saya fikir macam mana nak bunuh orang, sorok mayat, lari daripada polis.
“Apabila bangun, saya fikir macam mana solar sistem berfungsi, macam mana elektrik berfungsi. Suara-suara itu sangat bising, cakap macam-macam sampai saya rasa benci dengan otak saya,” katanya.
Luah isteri kepada aktor Dini Schatzmann itu, dia terlampau penat berhadapan situasi tersebut, namun zikir yang dialunkan tenggelam dengan suara-suara di kepalanya.
“Saya bukan hari-hari begini tapi bila datang hari yang teruk, istighfar dan zikir tak dapat melawan suara-suara yang tengah bercakap dalam otak.
“Bayangkan nak berzikir, 10 suara dalam kepala pun nak bercakap juga, lagi kuat sampai nak hentak kepala di dinding.
“Penyakit bipolar yang saya alami ini sangat teruk. Ubat yang saya kena makan tiada kesan dan tak sesuai dengan kerja saya,” luahnya lagi sambil menangis.
Baca juga: Wanita minta tips nak masuk hospital seminggu, rupanya penat layan karenah suami