Malaysia Dateline

Zikir politik dalam mengejar kuasa

Zikir dari segi bahasa bermaksud sebut dan ingat. Dari sudut tasawuf pula, zikir bermaksud terlepas daripada kelalaian dan kelupaan hati dengan sentiasa merasa hadir hati berserta Allah.  Ia bermaksud ingatan dan kehadiran hati yang kuat lagi berterusan terhadap makna-makna ketuhanan Allah sehingga terbuang kelalaian daripada hati tersebut.

Di samping itu zikir bermaksud mengulangi sebutan nama Allah dengan hati dan lisan, atau mengulangi sebutan dan ingatan terhadap sifat, hukum, perbuatan, atau apa saja yang boleh mendekatkan diri kepada Allah. Oleh itu zikir merangkumi dua perkara iaitu sebutan (zikir lisan) dan ingatan (zikir hati) terhadap Allah dan perkara yang berkaitan dengannya.

Ingatan adalah hakikat zikir manakala sebutan itu pula adalah laluan untuk mencapai ingatan tersebut. Tahap ingatan itu pula berbeza-beza sehingga ada yang mencapai tahap lupa kepada sesuatu yang lain daripada apa yang dizikirkan dan inilah yang dikatakan hakikat sebenar zikir.

Tetapi ada juga zikir politik yang senantiasa diwiridkan pagi dan petang, Zikir yang dimaksudkan itu adalah zikir kuasa, kepada ahli politik yang memikirkan bagamana hendak merampas, mengukuhkan kedudukan, memerintah dan menduduki kerusi Perdana Menteri dan memerintah negara, mereka akan sentiasa mewiridkan zikir kuasa yang akan mereka meratibkan. Kuasa, kuasa, kuasa… itulah ratib yang menjadi zikir mereka.

Mereka akan mengulangi sebutan dan ingatan terhadap hukum matlamat menghalalkan cara, perbuatan merampas kuasa atau apa sahaja yang mendekatkan diri mereka dengan kuasa diri, kumpulan dan parti yang mereka anggotai.

Tahap zikir pun berbeza-beza sehingga mereka ratib begitu komited sehingga kepada mereka lalai dalam maksud dan objektif zikir dan itulah hakikat zikir politik dengan sentiasa menyebut dan mengingatkannya.

Antara zikir utama yang diratibkan para imam mereka adalah dua perkara: menyekat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan parti Demokratic Action Party (DAP) harus disingkirkan daripada menganggotai kerajaan.

Dengan ingatan dan kehadiran hati yang kuat terhadap makna-makna mengapa kedua faktor tersebut harus disingkirkan, mereka akan meratibkan kepada rakyat supaya rakyat juga akan mengulangi sebutan itu dan mengingatkannya dalam lisan, perbuatan atau apa saja yang boleh mendekatkan diri mereka dalam memahami rasional ahli politik atau kumpulan tertentu untuk berkuasa.

Adakala zikir politik, ratibnya menggunakan agama, berlandaskan ayat-ayat al-Quran dan Hadis supaya lebih menyakinkan rakyat dalam ratib supaya zikir itu lebih berkesan.

Sebarang ruang atau peluang untuk menjatuhkan seseorang atau merampas kuasa akan digunakan semaksimumnya dengan zikir politik. Ratibnya akan diamalkan setiap masa supaya ia menjadi kenyataan. Sebarang strategi dan rancangan akan direncana dan disusun sesuai dan sering dengan ratib dan amalan zikir kuasa itu.

Ratibnya adalah Anwar tidak boleh menjadi PM kerana bersifat liberal dan menyamaratakan semua kaum, menafikan hak orang Melayu, inilah ratib mereka kepada orang Melayu. Dan ini menjadi zikir pertama yang diratibkan sebagai zikir di hati dan lisan, diungkap dalam media sosial setiap masa dan konteks.

Oleh itu usaha-usaha menyekat Anwar daripada menjadi PM pun dilakukan. Zikir mandat rakyat dan zikir kepentingan rakyat dihentikan, ratibnya tidak diperlukan kerana strategi telah ditukar, pandangan telah berubah, apabila ruang untuk berkuasa sudah nampak. Maka zikirnya ialah Anwar tidak boleh jadi PM, ancaman kepada Melayu.

Maka pemimpin-pemimpin Melayu kleptokrasi dan keras haluan kanannya akan menyanyikan zikir Anwar liberal padahal Anwar telah menerangkan maksud liberal ialah sedia mendengar pendapat pelbagai pihak, sebagai menjamin kebebasan untuk bersuara. Mungkin Anwar juga dikatakan berzikir berikutan majlis zikir di rumah Anwar walaupun tiada kaitan dan lebih kepada majlis ilmu.

Anwar berkata beliau tidak bersikap liberal dalam soal yang berkait dengan perkara membabitkan Islam. Anwar telah menerangkan bahawa beliau liberal maknanya kita sedia mendengar, sedia menolak, sedia tasamuh toleransi dengan padangan, ya. Tetapi menurut Anwar beliau bukan liberal sebagai seorang muslim, soal akidah nak liberal macam mana, solat lima kali sehari, saya tak liberal, puasa bulan Ramadan itu saya tak liberal.

Namun penerangan Anwar tidak diendahkan atau mendapat tempat di halwa telinga mereka kerana zikir Anwar liberal dengan ratib multirasisme lebih diutamakan dan diwahidkan. Ratibnya lebih dipercayai maka usaha ke arah menyekat Anwar jadi PM dilakukan.

Zikir kedua ialah DAP harus dinyahkan daripada pemerintahan kerana sikap anti-Melayu dan anti-Islam. Ratibnya ialah mengancam perwujudan orang Melayu dan agama Islam. Maka zikir ancaman kepada umat Islam dan Melayu diperluaskan ke dalam zikir politik agama yang turut dianggotai oleh sebuah parti Islam yang merangkumi.ratib Islam dan sekular Melayu demi menyelamatkan agama dan bangsa.

Maka ratib ini amat popular di media sosial, ramai orang Melayu yang bangun menzikirkannya. Mereka bukannya sahaja melakukan ratib lisan tetapi ratib diyakinkan di hati akan ancaman tersebut.

Maka semua isu ancaman Melayu dan Islam diratibkan kepada DAP, zikirnya DAP harus diketepikan, yang pelik DAP juga mempunyai ahli Parlimen yang terdiri daripada orang Melayu, India dan keturunan sikh.

Bahkan zikir dikatakan DAP anti Melayu dan Islam dihujahkan lagi dengan penolakan Hudud dan anti negara Islam, menyindir pemakaian purdah, memghina ulamak dan berkaitan. Di samping terdapat ratib bahawa DAP anti-Melayu dengan sikap rasis DAP yang anti Melayu dan tidak senang dengan penyatuan orang Melayu,  DAP diratibkan dalam zikir sebagai parti cauvinis anti-Bumiputera dan Islam. Di samping itu DAP adalah parti komunis bandar dan DAP dilihat parti sosialis berkiblatkan Singapura. Ini zikir yang dimainkan setiap masa dalam media sosial.

Ratib dalam zikir ini tentu akan menggelisahkan orang Melayu akan ancaman kepada negara, bangsa dan Islam. Akhirnya zikir ini telah berjaya menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan Langkah Sheraton dan terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan zikir politik yang baharu.

Mereka meratibkan zikir kuasa dengan pertukaran kerajaan, maka zikir itu pun merebak ke Johor, Perak, Melaka dan Kedah. Ratibnya ialah menjatuh kerajaan PH digantikan dengan Muafakat Nasional. Di Melaka zikir ucapan perkataan babi dan pengkianat diungkapkan dalam sidang dewan undangan negeri yang ditonton melalui video di media sosial.

Sedih juga apabila menyaksikan dengan zikir kuasa, berlakunya pembelotan ahli politik daripada parti PKR masuk ke kem bebas atau menyendeng ke kem PN. Zikir kuasa amat kuat, menteranya bagaikan sihir yang boleh membuat mata juling apabila ada unsur ghanimah.

Di Perak, zikir kuasa ini telah menubuhkan kerajaan totok Melayu-Islam dengan tiada ruang kepada bukan Melayu. Semoga berjayalah ditegakkan Hudud dengan zikir kuasa ini.

Dengan bermodalkan zikir politik dengan ratibnya anti DAP itu telah berjaya menarik pengaruh dan sokongan daripada pemimin Pas dan Bersatu.

Dengan zikir kuasa, ia merebak dan meresap bagaikan virus Covid-19, malah lebih berpengaruh dan bahaya lagi, kerajaan PH Kedah di ambang dipelantingkan.

Terdengar khabar zikir ini sedang meresap ke Selangor, mencari mangsanya, menyeru ke halwa telinga dan hati supaya mereka ikut serta dalam gabungan zikir kuasa. Dapatkah zikir ini dihentikan daripada mempengaruhi pemimpin di sana?

Zikir politik ini telah berjaya meletakkan sebuah kerajaan baharu di singgahsana menggantikan kerajaan sebelum ini, entah berapa lama ia akan bertahan dengan bergantung kepada zikir politik kerana ia perlukan modal ratib yang baharu, zikirkannya harus dikemaskinikan. Zikir politik apakah yang akan diratibkan, siapakah pulak imamnya?

Bayangkan zikir begitu lunak dalam bulan Ramadhan ini, seolah-olah zikir politik yang tidak putus-putus itu telah dianugerahkan dengan malam penuh kemuliaan. Kemenangan yang dirayakan hasil puasa dan zikir politik semasa bulan Ramadan telah disambut dengan Eid Mubarak.

* Kolumnis adalah seorang pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, di Universiti Selangor (Unisel).