Zon diplomatik Karachi Pakistan diserang, ragut 2 nyawa anggota polis

Zon diplomatik Karachi Pakistan diserang, ragut 2 nyawa anggota polis

Dua anggota polis terkorban dalam insiden serangan pengganas di kawasan diplomatik di bandar pelabuhan Karachi selatan Pakistan pada Jumaat pagi.

Timbalan Ketua Polis Karachi yang mengesahkan kejadian itu berkata, sekumpulan pengganas melepaskan tembakan ke arah anggota polis di zon diplomatik, kawasan menempatkan beberapa pejabat kedutaan asing.

Menurut laporan, kira-kira empat pengganas menaiki sebuah kenderaan tiba di kawasan itu dan melepaskan tembakan serta melempar beberapa bom tangan ke arah anggota polis.

Polis dan pasukan keselamatan kemudian mengepung dan melancarkan operasi memerangi militan di kawasan berkenaan, lapor agensi berita Xinhua.

Antara tiga dan empat pengganas dipercayai masih berada di kawasan itu, memetik laporan media tempatan.

Ekoran itu, darurat telah diisytiharkan di semua hospital di bandar berkenaan.

Kumpulan pemisah, Tentera Pembebasan Balochistan dilaporkan bertanggungjawab ke atas serangan itu.

— BERNAMA