Pelakon popular, Zul Ariffin kembali mencuri perhatian ramai selepas berkongsi rakaman memaparkan dirinya berdoa untuk dikurniakan jodoh di Jabal Rahmah, Mekah baru-baru ini.
Mana tidaknya, pelakon berusia 38 tahun terbabit dirakam ketika menyebut ‘arba’a’ yang membawa makna empat di dalam bahasa Arab sewaktu meminta untuk dikurniakan isteri.
Bintang filem Don Dukun itu dipercayai hanya berseloroh sebelum membetulkan semula doanya dan menegaskan hanya mahu seorang sahaja calon isteri di dalam rakaman tersebut.
“Allahumma Zawwijni Arba’a (Ya Allah, kurniakanlah daku empat orang isteri). Eh, Allahumma Zawwijni seorang sahaja (isteri).
“Kadang-kadang apabila sedang berdoa ini pun kita boleh tersasul, mungkin sebab cuaca. Jom kita berdoa banyak-banyak tak kira di mana sekali pun,” katanya dalam satu perkongsian di platform TikTok.
Difahamkan, pemilik nama sebenar Zulkifli Ariffin itu kini berada di Tanah Suci, Mekah untuk menunaikan ibadah umrah bersama keluarganya berdasarkan perkongsian di media sosial.
Tinjauan di ruangan komen hantaran yang mengundang tumpuan itu mendapati rata-rata pengguna TikTok meminta Zul berhati-hati ketika berdoa memandangkan pelakon itu berada di tanah suci.
Ramai juga pengguna berharap supaya doa pelakon itu untuk dikurniakan isteri termakbul dengan segera kerana sudah lama teringin melihat artis kesayangan mereka berumah tangga.
Zul sebelum ini pernah berkongsi harapannya untuk menamatkan zaman bujang pada akhir tahun ini selepas rancangan tersebut tidak berjalan lancar disebabkan fasa pandemik Covid-19.
Namun sehingga kini, pelakon terbabit belum berkongsi sebarang perkembangan mengenai rancangan tersebut selain digosipkan kembali menjalinkan hubungan dengan penerbit, Gayatri Su-lin Pillai selepas foto mereka ketika menyambut Syawal bersama tular di media sosial.
Baca juga: Masih pelawak meskipun sandang jawatan CEO, Ilham Abata seimbangkan 2 kerjaya