Malaysia Dateline

Zunar ada cara tersendiri sampaikan kekesalan orang ramai

Penafian Jabatan Perhutanan Pahang bahawa tidak ada pembalakan di hutan simpan Lentang walaupun kayu balak bertebaran di kawasan sekitarnya telah tidak disenangi oleh orang ramai.

Ini kerana, penemuan kayu-kayu balak yang cantik terpotong melanda rumah mangsa banjir sehingga roboh memberikan memberikan maksud sebaliknya.

Turut tidak senang dengan kenyataan itu adalah kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkifly Anwar ul Haq yang memberikan takrifan sendiri terhadap penafian Jabatan Hutan itu.

Zunar melakarkan gambaran penafian itu menerusi kartun beliau.

Tinjauan dron mendapati tiada pembalakan secara sah atau haram di Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan serta tanah milik berhampiran Jalan Bentong-Karak dan Jambatan Sri Telemong di Bentong, kata kenyataan itu, kata Jabatan Hutan.

Dalam satu kenyataannya pada 29 Disember lalu, Jabatan Perhutanan Pahang memaklumkan semakan di kedua-dua tempat mendapati sisa kayu yang berselerak di atas jalan dan jambatan itu yang dikaitkan dengan pembalakan menerusi media sosial, ialah sisa sampah sarap daripada kejadian kepala air di Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul yang berlaku pada 18 Disember lalu.

“Semakan mendapati berlaku kejadian kepala air di dua lokasi itu bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat berterusan selama tiga hari, bermula 16 Disember hingga banjir besar di Bentong pada 18 Disember lalu, yang disokong data taburan hujan Jabatan Pengairan dan Saliran Bentong dengan mencatatkan bacaan purata 155 milimeter (mm) pada 18 Disember serta dikategorikan sebagai sangat lebat.

“Semakan udara juga mendapati banyak kesan tanah runtuh di kawasan berbukit di dalam Hutan Simpan Lentang, tanah kerajaan dan tanah milik yang membawa sisa sampah sarap terdiri daripada tanah-tanih, batu-batan dan pokok-pokok yang hanyut masuk ke dalam Sungai Temeriak, Sungai Kerau dan Sungai Timbul, akibat arus air yang sangat kuat menghentam di sepanjang laluan sungai itu,” menurut kenyataan itu.