Malaysia Dateline

Zunar menentang pewartaan haramkan komik propaganda

Kartunis politik, Zunar menentang pewartaan perintah larangan terhadap komik ‘Inisiatif Jalur dan Jalan- Meraih Manfaat Bersama (BRI)’ yang didakwa mengandungi unsur mempromosi ideologi komunisme dan sosialisme serta menyebarkan fakta yang salah.

Zunar berkata, beliau menentang pengharaman komik itu biarpun secara peribadi beliau mungkin bersetuju dan mungkin tidak bersetuju dengan kandungan komik tersebut.

“Apa yang saya dengar hanyalah cakap-cakap dari menteri, institusi kerajaan dan parti-parti politik tanpa menjelaskan secara pesifik tentang halaman mana yang mereka tidak persetujui.

“Prinsipnya mudah: “Kartun dan komik adalah perkara tafsiran. Jika anda tidak bersetuju dengan kandungannya, tidak ada masalah, tetapi jangan gunakan tafsiran anda sebagai undang-undang untuk mengharamkannya.

“Tidak suka? Jangan baca!,” Katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya lagi, jika mana-mana pihak merasa bahawa kandungan komik tersebut berunsur fitnah atau menghasut, mereka sepatutnya memfailkan saman sivil di mahkamah terbuka.

Dengan itu katanya, ia akan membenarkan artis tersebut berpeluang mempertahankan diri mereka.

“Secara undang-undang, larangan buku tidak dapat diterima,” katanya.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque, turut memetik kesnya pada tahun 2014, di mana penghakiman oleh Mahkamah Rayuan pernah mengarahkan kerajaan untuk tidak membatalkan buku kartun terbitannya.

Difahamkan, panel itu adalah Hakim Datuk Mohd Ariff Mohd Yusof (kini Ketua Parlimen), Datuk Tengku Maimun Tuan Mat (Kini Ketua Keadilan) dan Datuk Varghese George.

Jelasnya yang memetik ucapan Datuk Mohd Ariff ketika itu: Jika seseorang atau institusi terkesan daripada kartun berkenaan sehingga boleh mendatangkan penghinaan dan fitnah, mereka boleh terus menyaman si perayu.

“Ini adalah alternatif yang lebih baik daripada pengharaman secara terang-terangan ke atas alasan yang tidak munasabah terhadap perintah awam.

“Walau bagaimanapun, saya juga menentang pengedaran buku komik ini di sekolah,” ujarnya.

Pada Rabu Kementerian Dalam Negeri (KDN) , mewartakan Perintah Larangan terhadap 3 penerbitan bertajuk ‘Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama’ serta versi bahasa Inggeris ‘Belt & Road Initiative For Win-Winism’ dan versi bahasa Cina melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.