Zunar, petugas misi kemanusiaan bakal ditawar anugerah

Khalid bergambar kenangan dengan datuk-datuk bandar dunia yang menyertai program di Kuala Lumpur hari ini.

Kartunis Zunar, pejuang rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel, petugas misi bantuan kemanusia ke kawasan bencana akan dicadangkan oleh Menteri Wilayah, Khalid Samad untuk menerima pingat-pingat kebesaran dari kementerian itu.

Khalid ketika bercakap dengan media hari ini berkata, beliau tidak akan mencadangkan nama-nama pemimpin-pemimpin politik untuk menerima anugerah itu tetapi kumpulan yang telah mengharumkan nama di peringkat antarabangsa ini.

“Tidak ada untuk pimpinan politik kali ini. Bagi pimpinan politik, saya rasa banyak masa lagi. Kita tengok perkhidmatan dan prestasi masing-masing. Kalau ada yang nak cadangkan pun saya serah kepada pihak lain,” katanya.

Sebagai Menteri Wilayah, kata Khalid, beliau akan memberi penghormatan kepada mereka yang telah memberikan khidmat kepada masyarakat, seperti NGO, pendidik dan mereka yang telah harumkan nama negara di perngkat antarabangsa.

“Contohnya kartunis Zunar. Saya tak tahulah dia hendak terima atau tidak. Tetapi dia telah banyak memberikan khidmat dan kesedaran dan mengharumkan nama negara di peringkat antabangsa sebagai kartunis yang membuat pameran di peringkat antarabangsa dan sebagainya.

“Walaupun tema dahulu dah tak releven kerana kerajaan kleptokrat dah dapat dijatuhkan, tetapi apa yang telah diusahakan beliau ke arah dan yang dia telah lakukan perlu diberikan pengiktirafan,” katanya.

Menurut Khalid, beliau akan mencalonkan tokoh-tokoh bukan politik ini untuk menerima anugerah yang menjadi sebahagian aturcara sempena Hari Wilayah awal tahun depan.

 

PENDIRIAN AMANAH

Ketika ditanya, apakah pendirian parti AMANAH dalam isu anugerah ini, Khalid berkata partinya tidak mempunyai satu pendirian yang rigid mengenainya dan terserah kepada pihak yang membuat tawaran dan pihak yang menerimanya.

“Ada yang telah menolak dan ada yang menerima tawaran itu. Bagi kita tidak ada isu. Kalau mereka anggap ini satu yang positif dan boleh bantu imej parti dan boleh membantu dalam pekerjaan dan sebagainya, silakan.

“Yang rasa tidak perlu, silakan juga. Terpulang kepada individu asalkan jangan melobi (untuk mendapatkannya) apatah lagi membayarnya,” katanya.

Bagi Khalid, pihak yang membuat tawaran darjah kebesaran itu yang perlu membuat penilaian layak atau tidak layak bukan yang hendak menerimanya.

“Pihak yang menawar yang perlu mengambil kira. Mungkin pihak yang menawar merasa walaupun mereka baru menjadi menteri tetapi telah lama berkhidmat dan berjuang dan sebagai pengiktirafan kepada mereka yang telah berjuang membebaskan negara dari genggaman kleptokrat dan sebagai, itu terpulanglah kepada pihak yang menawarkannya.

“Orang yang menawarnya, dia yang kena menilai. Yang ditawar terpulang kepada dia, nak terima atau tidak,” kata Pengarah Komunikasi AMANAH itu.

Khalid ditemui media selepas melancarkan himpunan tahunan, World Energy City yang disertai oleh datuk-datuk bandar dari seluruh dunia di sebuah hotel hari ini.

 

 

 

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0