Zunar saman polis, kerajaan

Zunar saman polis, kerajaan

Kartunis Zunar mengemukakan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia kerana mendakwa ditahan secara salah dan buku karyanya dirampas pada satu majlis tahun lalu.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarule Haque yang bertindak selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan 16 anggota polis, dua pegawai, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Melalui writ saman dan pernyataan tuntutan, Zunar mendakwa majlis minum petang anjurannya di di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH) pada 17 Disember tahun lalu diserbu pihak polis sebelum acara bermula pada jam 3 petang dan buku serta baju T miliknya dirampas.

Plaintif berkata, dalam serbuan itu pihak polis turut menangkap pembantunya dan dua orang awam yang menghadiri majlis terbabit, bagaimanapun enggan memberikan maklumat mengenai alasan tangkapan dan rampasan.

Beliau berkata, sejumlah 1187 naskhah buku dan 103 helai baju T dirampas dan polis memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen).

Katanya, beliau kemudian bersama pembantu dan dua orang awam yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan hanya dibebaskan pada jam 3 pagi.

Plaintif seterusnya menyatakan bahawa tangkapan dan rampasan itu adalah tidak sah dan menyebabkan beliau mengalami kehilangan serta kerugian.

Sehubungan itu, Zunar menuntut daripada defendan, ganti rugi khas RM22,388 atau secara alternatif memulangkan buku dan baju T yang dirampas, ganti rugi penangkapan secara salah, ganti rugi kecuaian, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perisytiharan bahawa defendan memungkiri kebebasan asasi plaintif seperti dilapor BH online.

COMMENTS

Wordpress (0)