Malaysia Dateline

Zunar terbit buku ‘Kartun Anti Rasicm’ bertemakan keharmonian kaum

Demi keharmonian kaum di negara ini, Kartunis Politik, Zulkiflee Anwar Haque atau dikenali sebagai Zunar, menerbitkan buku ‘Kartun Anti Rasisme’ (KAR) dengan dua bahasa pilihan iaitu Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris.

Katanya, buku itu diterbitkan di saat api perbezaan dan ketegangan kaum semakin buruk dikobarkan dari hari ke hari oleh kumpulan dan parti-parti politik tertentu.

“Ia menjadi semakin buruk apabila pemimpin-pemimpin tertinggi kerajaan juga turut terlibat dalam politik negatif ini.

“Melalui lukisan kartun, KAR mengingatkan bahawa perkauman adalah perosak minda, dan jika tidak diatasi segera ia akan menjadi batu penghalang kepada kemajuan negara.

“Agama Islam jelas menolak amalan diskriminasi kaum berdasarkan prinsip bahawa Tuhan menjadikan kita berbagai bangsa dan warna kulit bukan untuk saling membenci tetapi untuk saling mengenali dan menghormati.

“KAR mengandungi 48 lukisan kartun yang bertemakan keharmonian dengan menolak amalan diskriminasi kaum. Ia adalah salah satu misi saya untuk membangun semula negara (nation rebuilding),“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anak kelahiran Gurun, Kedah itu menambah, kartun-kartun dalam KAR turut mendedahkan bahawa polarisasi kaum juga menyebabkan keadilan sosial menjadi tidak seimbang.

“Diskriminasi masih berleluasa sedangkan semua warga negara sepatutnya mendapat hak yang sama tanpa mengira kaum dan agama.

“Kartun-kartun dalam buku ini disadur dengan pendirian bahawa sistem pendidikan adalah salah satu punca kenapa negara kita menjadi semakin rasis.

“Sebagai solusi, sistem pendidikan perlu segera diubah seluruhnya kepada sebuah sistem yang mementingkan meritokrasi tanpa perkauman,” katanya lagi.

Sebagai seorang kartunis, Zunar berpendapat adalah menjadi tanggungjawab beliau untuk membetulkan keadaan sekadar yang termampu.

Majlis perasmian KAR akan diadakan pada hari Ahad, 10 November di Apom Store, Bangsar Village 1 Shopping Complex, Bangsar dari jam 12 tengah hari ke 6 petang.

Buku itu dijual dengan harga RM30 senaskah, manakala pembelian online boleh dilakukan melalui laman rasmi. www.zunar.my.