Malaysia Dateline

Zuraida digesa percepat projek hijau

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok menggesa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Zuraida Kamaruddin supaya mempercepat projek hijau dan pemuliharaan di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia sebagai strategi untuk melawan dakwaan palsu terhadap minyak sawit negara.

Gesaan Teresa itu susulan kenyataan Zuraida yang dianggap “tidak berperasaan” dengan antara lain menyebut “Orang Utan akan bunuh kamu”.

“Beliau (Zuraida) buat kenyataan ini apabila diberitahu oleh duta Malaysia di Jeddah bahawa buku teks di negara-negara Arab mengandungi sentimen antiminyak sawit, termasuk dakwaan perladangan sawit telah membunuh Orang Utan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH), ujarnya, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) yang diterajui Khairuddin Aman Razali telah cuba mempromosi minyak sawit secara agresif di Timur Tengah.

“Khairuddin telah menubuhkan pejabat promosi komoditi yang baru yang termasuk aktiviti Minyak Sawit Malaysia (MPOC) di Saudi Arabia, sebagai tambahan kepada dua lagi pejabat MPOC di Istanbul dan Cairo di Timur Tengah.

“Saya percaya penekanan promosi minyak sawit di negara-negara Arab adalah disebabkan oleh peresapan sentimen anti-minyak sawit yang kuat di seluruh Kesatuan Eropah, dan mantan Menteri mungkin ingin menggunakan hubungan baik di antara Malaysia dengan negara-negara OIC untuk memudahkan kemasukan minyak sawit ke pasaran mereka.

“Mantan Menteri Khairuddin dan Menteri Zuraida Kamaruddin mungkin tidak sedar bahawa sentimen anti-minyak sawit sebenarnya telah bertular di masyarakat Arab,” jelasnya.

Teresa menambah surirumah di kebanyakan negara di Timur Tengah tidak menggemari minyak sawit sebaliknya menggunakan minyak jagung dan minyak zaitun kerana menganggap minyak sawit mengandungi lemak yang tidak sihat.

“Jadi, hanya hotel dan sektor pembuatan makanan memilih minyak sawit kerana minyak ini mempunyai fungsi khas tertentu dan ia dijual dengan harga yang lebih rendah.

“Apa yang lebih teruk ialah, dakwaan orang Eropah bahawa penanaman pokok sawit telah merosakkan alam sekitar dan membunuh hidupan liar juga telah menular masuk dalam buku teks sekolah di Arab,” ujarnya.

LANJUT MENYUSUL