Malaysia Dateline

Zuraida kena kecam dianggap kebal undang-undang tidak pakai pelitup muka

Walaupun kawasan Ampang berada dalam zon merah, Ahli Parlimennya, Zuraida Kamaruddin dilihat kerap menghadiri sesuatu acara dengan hanya memakai pelindung muka (face shield) tanpa pelitup muka.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu individu yang hanya memakai pelindung muka tanpa mengenakan bersama pelitup muka di kawasan sesak boleh dikenakan kompaun.

Menurut Naib Presiden Umno berkenaan, hal itu jelas melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 sebagaimana diwartakan.

Susulan itu, warganet mengecam Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan berpendapat menteri seperti kebal daripada penguatkuasaan undang-undang berkaitan usaha memutuskan rantaian pandemik.

Rata-rata menganggap undang-undang berkaitan pencegahan penularan jangkitan Covid-19 seolah-olah hanya dikuatkuasakan terhadap rakyat sahaja.

Sehubungan itu, orang ramai mendesak agar Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap bekas Naib Presiden PKR yang kemudiannya menyertai Bersatu pada Ogos lalu itu dikenakan tindakan.

“PDRM saman Zuraida tak pakai pelitup muka. Mengapa double standard?” kata Sonny Raaja.

Setiap hari, ratusan individu ditahan di seluruh negara atas pelbagai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP).

Kesalahan itu termasuk tidak memakai pelitup muka, gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan, gagal mematuhi arahan jarak fizikal dan aktiviti pusat hiburan.