Malaysia Dateline

Zuraida selar tindakan perusuh serang anggota bomba bertugas

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menyelar tindakan menyerang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat yang sedang menjalankan tugas ketika insiden di kuil Sri Maha Mariamman awal pagi tadi.

Katanya tindakan menyerang penjawat awam yang sedang menjalankan tugas itu keterlaluan dan harus dihentikan.

“Dalam insiden ini saya amat terkejut, rasa dukacita dan kecewa atas sikap perusuh yang ada di tempat itu. Ini satu budaya yang harus kita hentikan kerana mereka adalah penjawat awam yang beruniform.

“Jadi kena ada satu tahap hormat kepada penjawat awam yang beruniform oleh rakyat. Tidak boleh ambil tindakan sedemikian yang saya anggap keterlaluan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Dalam kejadian pagi tadi, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat cedera parah dan terpaksa dimasukan ke Hospital Sime Darby Medical Centre dalam kejadian rusuhan di luar kuil Sri Maha Mariamman.

Kejadian kira-kira jam 2 pagi Isnin itu tercetus apabila puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil hingga berlaku pergaduhan antara dua kumpulan yang menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.

Zuraida yang juga Anggota Parlimen Ampang menegaskan semua pihak termasuk organisasi dan persatuan harus mengikut perlembagaan dan undang-undang dan tidak boleh mengambil tindakan mengikut kehendak mereka.

Justeru beliau mahu pihak polis melakukan siasatan segera berhubung insiden berkenaan.-BERNAMA.