Zuraida semeja dengan hartawan Vincent Tan

Zuraida semeja dengan hartawan Vincent Tan

Foto memaparkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin semeja bersama hartawan terkenal negara Tan Sri Vincent Tan tular di media sosial.

Gambar tersebut sempena Majlis Kesyukuran dan Makan Malam Meraikan Pelantikan Zuraida untuk jawatan dalam kerajaan itu semalam.

Program itu bertempat di Berjaya Times Square Hotel di ibu negara.

Vincent Tan adalah pengasas Berjaya Corporation Berhad pada 1984 yang kemudiannya menguasai pelbagai perniagaan termasuk hartanah, perkhidmatan kewangan, pendidikan, permainan, peruncitan, telekom dan media.

Pemilik kelab bola sepak Cardiff City FC itu menduduki tangga ke-23 dalam Senarai 50 Individu Terkaya Forbes Malaysia 2020 dengan aset bersih bernilai AS$750 juta.

Mulanya bersara dari lembaga konglomerat Berjaya pada tahun 2012, Vincent kemudian kembali sebagai pengerusi eksekutif pada 2017.

Anaknya, Robin Tan melepaskan jawatan Pengerusi Berjaya tetapi terus menjadi Ketua Eksekutif konglomerat itu.

Vincent juga memegang saham dalam syarikat pengendali telefon mudah alih 3G di Malaysia, U Mobile.

Pada Disember 2019, beliau mengambil alih 47 peratus saham Myinteractivelab, yang mengendalikan perkhidmatan Dego.

Vincent Tan juga dilapor terlibat dalam projek pembangunan lapangan terbang di Pulau Tioman bernilai RM1.2 bilion.