Zuraida tempelak Shahbudin tidak waras kahwinkan kanak-kanak dengan perogol

Zuraida tempelak Shahbudin tidak waras kahwinkan kanak-kanak dengan perogol

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahya disifatkan sebagai tidak waras untuk berfikir bahawa kanak-kanak perempuan berusia antara 9 hingga 12 tahun sudah bersedia dari segi fizikal dan rohani untuk berkahwin.

Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, adalah lebih baik Shabudin tidak mengeluarkan sebarang kenyataan daripada mengulas sesuatu yang tidak pernah dialami oleh seorang wakil rakyat lelaki.

” Shabudin tidak pernah menjalani kehidupan sebagai seorang gadis yang belum baligh oleh itu adalah lebih baik untuk berdiam diri daripada mengulas sesuatu yang beliau tidak pernah mengalaminya sendiri.

“Kedua, terdapat banyak kes-kes yang direkodkan dan kenyataan yang diambil oleh kanak-kanak ini sendiri bahawasanya berkahwin pada usia yang muda bukan sesuatu yang mereka mahu tetapi dipaksa oleh penjaga mereka.

“Ketiga, kanak-kanak perempuan yang belum baligh mengikut definisi dalam mana-mana kamus atau undang-undang, mereka ini masih dikategorikan sebagai kanak-kanak,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahbudin YahyaSemalam di Dewan Rakyat, Shabudin berkata tidak salah untuk mangsa berkahwin dengan perogolnya dan mungkin lebih baik mangsa dikahwinkan dengan perogolnya supaya dia tidak melalui masa depan yang gelap.

Beliau berkata sesetengah gadis berumur 16 tahun mempunyai gaya hidup yang liar dan keluarga mendapati sukar mengawal mereka.
Tetapi dengan persetujuan wali mereka, kata Shabudin, perempuan itu selepas berkahwin akan dijaga dengan baik oleh suami dan wali.
Mereka boleh hidup dengan aman, katanya, dan menambah ini mungkin pengubat kepada masalah sosial.
Ini juga bermakna perogol itu tidak semestinya jahat selama-lamanya, kata Shabudin.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang menambah apa yang dimaksudkan oleh Shabudin adalah ianya satu perkara yang biasa bagi seorang kanak-kanak untuk mempunyai hubungan kelamin selagi ada sijil perkahwinan.

“Apakah yang dimaksudkan dengan sijil perkahwinan? Sebuah sijil yang bertujuan membolehkan hubungan kelamin dengan anak di bawah umur?

“Bekas hakim ini adalah contoh yang amat memalukan untuk membentuk satu peribadi yang mulia dan pemikiran yang waras. Memikirkan semula, saya kini tidak pasti sama ada hukuman hukuman yang beliau pernah jatuhkan ketika menjadi seorang hakim adalah wajar.

“Membenarkan perogol berkahwin mangsanya tidak akan menyelesaikan masalah sosial.

“Bayangkan trauma yang harus dilalui oleh kanak-kanak tersebut dan kemudiannya dikehendaki untuk menghadap penyiksa yang menyakiti kanak-kanak ini setiap hari selepas perkahwinan.

“Hanya kerana dia seorang kanak-kanak yang tidak diberikan hak untuk bersekolah, kanak-kanak ini dinafikan untuk mendapatkan bantuan dan hidup berdikari.

Sekiranya perogol memutuskan untuk menceraikannya dalam tempoh yang singkat, apakah akan terjadi kepada masa depan kanak-kanak ini?,” soalnya.

Zuraida membaw contoh kes rakyat Sabah yang berusia 40 tahun berkahwin dengan mangsa rogol berusia 13 tahun selepas memberi rasuh kepada ibu bapa mangsa, pelaku ini masih perlu dihukum kerana merogol. Berkahwin dengan mangsa tidak membatalkan jenayah yang telah dilakukan.

Ujar Zuraida lagi, apabila Shabudin berkata bahawa “sekurang-kurangnya dia mempunyai suami”, dalam fikiran sempit ahli parlimen BN itu, mesti merasakan bahawa wanita itu lemah dan hanya bergantung hidup kepada suami.

“Shabudin perlu tahu bahawa masih ramai suami diluar sana yang tidak membayar nafkah, ramai suami yang tidak menjaga keluarga mereka namun masih ada masa dan sumber kewangan untuk mengahwini isteri kedua. Adakah rakyat Malaysia lupa bagaimana kuatnya wanita dalam masyarakat matriarki daripada Minangkabau?

“Shabudin adalah seorang yang masih tergolong dalam zaman kegelapan dan tidak sepatutnya berada di dalam parlimen. Beliau sepatutnya bersikap gender sensisitf dan menghormati isu-isu wanita yang mewakili seluruh wakil rakyat tidak mengira jantina samada lelaki atau perempuan.

“Rang Undang-Undang Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak perlu diluluskan tanpa bantahan jika ahli-ahli parlimen sedia ada bersungguh untuk menjaga dan melindungi generasi yang akan datang.

Pada masa yang sama, perkahwinan kanak-kanak mesti diharamkan dan mendapat pendidikan yang sempurna adalah yang terutama bagi kanak-kanak ini bagi merealisasikan kehidupan mereka yang penuh dengan potensi. Trend masa kini menunjukkan bahawa lebih ramai wanita dalam pendidikan yang tinggi berbanding lelaki dan ini merupakan satu petunjuk yang sangat baik dan positif kerah masyarakat yang lebih sihat dan harmoni,” terangnya.

TAGS