Malaysia Dateline

Zuraidah Kamaruddin: Satu lagi lompatan selepas melompat

Pemergian Zuraida Kamaruddin meninggalkan PBBM (BERSATU) ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) bukanlah suatu bertita yang mengejutkan. Bahkan bukan lagi satu rahsia awam bahawa terdapat pergeseran antara pasukan Azmin dengan pasukan Zuraidah. Beliau juga telah lama tidak muncul dalam radar politik nasional dan juga jarang sekali menjadi berita yang berkaitan dengan potfolio beliau di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Ramai yang telah menjangkakan ‘lompatan’ kedua beliau ini dan malah tidak kurang juga yang telah beberapa bulan lalu mengaitkan beliau dengan penubuhan PBM kerana salah seorang penggerak utama Penggerak Komuniti Negara Nor Hizwan Ahmad merupakan bekas Setiausaha Politik beliau.

Ketika bermulanya gerakan reformasi 1998 berikutan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), nama Zuraidah tidaklah menjadi sosok penggerak utama yang dikenali. Samada dalam demonstrasi ataupun dalam mana-mana road-show dan rapat umum anjuran para reformis, beliau tidak pernah dikenali. Cuma kemudian apabila beliau menggantikan YB Puan Fuziah Salleh seorang sebagai Ketua Wanita PKR dan seterusnya sebagai Naib Presiden PKR, barulah beliau sedikit dikenali.

Namun, berbanding YB Fuziah yang merupakan penggerak masyarakat dan strtegis, Zuraidah tidak memiliki bakat terserlah begitu. Selepas Langkah Sheraton dengan mengambil ‘syafaat’ gerakan Azmin Ali beliau adalah antara yang melompat dan mengkhianati mandat rakyat dalam PRU14 hingga menyebabkan jatuhnya kerajaan PH pilihanrakyat.

Ketika negara menghadapi pandemik Covid-19, secara umum dan penglihatan mata- kasar terutama ketika memegang jawatan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang sangat penting dan strategik untuk melonjakkan sektor perekonomian negara dan sumber daya-hidup rakyat, tidak menampakkan impaknya dengan strategi yang mampan, terkehadapan dan berdaya-maju.

Ini sudah tentu amat mengecewakan pemain industri perladangan dan komoditi. Kelihatan juga YAB PM tidak dibantu dengan agresif dalam sektor ini dalam menggariskan tindakan pasca Covid-19.

Sedangkan dalam menjana sumber pendapatan baharu negara; industri sawit, getah, kayu, koko, tembakau, kenaf, sago dan lada hitam perlu disenergikan semula sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi. Tidak kelihatan sejak kementerian diterajui pasca Langkah Sheraton menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan dan kecemerlangan dalam industri perladangan dan komoditi. Jauh sekali menjadikan negara Malaysia menjadi pengeluar utama produk berasaskan komiditi yang mempunyai nilai tambah di pasaran global.

Negara jiran Indonesia dan Thailand jauh telah memintas Malaysia dalam industri perladangan dan komoditi. Dimana kedudukan dan pencapaian industri kenaf, koko, sago dan getah negara ini pada ketika ini? Sebagai satu contoh negara jiran Thailand, pada tahun 2022 ini sahaja, industri gula telah melonjak dan memberikan impak kepada aliran dagangan Asia (Asia trade flow).

Thailand kini menjadi negara kedua terbesar ekonomi di ASEAN selepas Indonesia. Manakala Bank Dunia sendiri meramalkan pembangunan agresif industri perladangan dan komoditi Indonesia mulai tahun 2022 (pasca pandemik) dengan pertumbuhan ekonomi lebih memecut pantas dan ketelusan pentadbiran yang penuh integriti dan bebas rasuah.

Berbalik kepada isu perletakan jawatan YB Zuraidah, Bersatu memberi tekanan bahawa kouta menteri yang dikosongkan oleh Zuraidah adalah milik mereka. Desakan ini amat tidak wajar, kerana menjadi hak Perdana Menteri untuk memilih pasukannya dan Bersatu kena faham bahawa kedudukan dalam kabinet bukanlah seperti memilih peniaga pasar malam.

Pada ketika ini terutamanya dalam proses negara hendak dipulihkan dari perlbagai sudut, maka menteri yang menggaris-pandu dasar utama negara mestilah seorang yang mempunyai daya fikir yang berdaya maju, agresif, berpengetahuan dan mempunyai minda strategis. Mereka tidak semesti dikalangan ‘orang politik’ dan ia bukan sahaja milik mutlak Bersatu (walaupun ada persetujuan diantara YAB PM dengan Presiden Bersatu)

Pada ketika ini adalah wajar bagi YAB PM memilih seorang yang boleh membantu beliau dalah menggerakkan industri perladangan dan komoditi dan mampu menyaingi gergasi ekonomi ASEAN seperti Thailand dan Indonesia. Kalaulah yang dipilih hanya seorang yang mahu menduduki kerusi empok menteri, tanpa memikirkan negara dan rakyat, lupakan sahaja slogan Keluarga Malaysia.

Ramai tokoh industrialis yang boleh di angkat untuk tempoh sebelum PRU15 ini untuk membantu YAB PM memetakan kembali industri perladangan dan komoditi negara dan tindakan berani YAB PM melakukan ini akan menguntungkan negara.

Negara memerlukan seorang menteri dan negarawan yang berani menjadi pelari pecut bagi menandingi Thailand dan Indonesia dengan memasuki pasaran global seberapa segera. Mereka yang dilantik hanya dengan hanya retorik politik akan merugikan negara. Penulis juga bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Zahid Hamidi supaya mana-mana ahli parlimen yang melompat parti tidak harus menganggotai kabinet kerana mereka hanya mahu mengekalkan kerusi, meraih laba pangkat dan harta bukan berkati kepada negara dan menstabilkan keadaan politik.

Oleh itu, YAB PM wajib berfikir dengan semasak-masaknya dan bukan hanya atas desakan politik Bersatu. YAB perlu memikirkan negara dihadapan daripada untuk menjaga hati Bersatu dan ahli-ahli politik songsang. Buat masa ini negara lebih penting dan itulah kehendak Keluarga Malaysia seperti yang YAB selalu laungkan saban hari dan waktu. Jika tidak, episod burok ini akan terus-terusan berulang, negara akan reput dan lemah, keluarga Malaysia akan simpang-perenang. Manakala ekonomi dan kemajuan industri kita akan terjun kelaut. YAB akan turut diingati sebagai PM yang lemah dan gagal!

————

Penulis merupakan Felo Akademi Sains Islam Jordan. Walabagaimapun penulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak menggambarkan pendirian akademi.