Zurinah wanita pertama menerima Anugerah Sasterawan Negara

Zurinah wanita pertama menerima Anugerah Sasterawan Negara

Penulis dan penyair wanita tanah air Datuk Dr Zurinah Hassan atau lebih dikenali dengan nama pena Haniruz menerima Anugerah Sasterawan Negara Ke-13 malam tadi.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyampaikan anugerah tersebut kepada Zurinah – wanita pertama menerima penghormatan itu.

Beliau menerima wang tunai RM60,000, Warkah Penghormatan Negara dan tajaan RM500,000 bagi menerbitkan 50,000 naskah karya beliau yang akan dibeli oleh kerajaan untuk diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan dan agensi kerajaan.

Pada 13 Okt lalu, Mahdzir mengumumkan Zurinah sebagai penerima anugerah itu berdasarkan kecemerlangan dan sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta pengiktirafan yang diterima.

Mula dikenali dengan sajak “Sesayup Jalan” yang dihasilkan pada 1974, Zurinah, 67, mengembangkan bakatnya dengan menulis cerpen, novel dan puisi sehingga terhasilnya kumpulan puisi “Menghadap ke Pelabuhan/Facing the Harbour”, 2010 terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Antara kejayaan lain beliau dalam dunia sastera adalah menerima Anugerah Puisi Putera 1984, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2004 serta Anugerah Puisi Negara-negara ASEAN (Sunthorn Phu Poet Laureate) 2013 serta Hadiah Sastera Perdana.

Zurinah juga menghasilkan Memoir Zurinah Hassan: Menjejak Puisi pada 2003, dan antara hasil tulisan ilmiah beliau ialah mengenai Sasterawan Negara Usman Awang (1990).

Beliau juga menghasilkan sebanyak 19 buku antologi sajak, puisi, kajian sastera, autobiographi, memoir, antologi cerpen dan novel sepanjang bergiat aktif dalam bidang penulisan sejak 1963.

Beberapa karya puisi dan sajak beliau juga diterjemahkan ke dalam bahasa Jepun, Perancis, Sepanyol dan Rusia.

Anugerah Sastera Negara merupakan anugerah tertinggi negara kepada sasterawan.

TAGS