Malaysia Dateline

10 lelaki dicekup jadi ‘ejen bookie’ buat taruhan Piala Dunia Qatar, wang taruhan lebih RM1 juta

Polis Johor berjaya menahan 10 lelaki tempatan, disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian bola sepak sempena Piala Dunia Qatar 2022.

Menerusi Op Soga IX di seluruh negeri itu bermula Isnin hingga Khamis, polis telah menahan kesemua bookie yang berusia 22 hingga 43 tahun.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sehingga kini had nilai kredit pertaruhan telah melebihi RM1 juta.

“Kesemua yang ditahan terlibat sebagai ejen bookie pertaruhan dengan nilai had kredit keseluruhan yang mencecah sehingga RM1.059 juta.

“Wang tunai bernilai RM9,730 dan 10 telefon termasuk kad sim dan buku memo yang mempunyai catitan disyaki untuk pertaruhan Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Qatar 2022.

“Kejayaan operasi ini sebahagian besar hasil risikan yang dijalankan pihak polis Johor dan aduan serta maklumat yang diterima daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Gambar sekadar hiasan

Menurut Kamarul Zaman, kesemua suspek direman dan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953, Seksyen 6 (1) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4 (1) (d) Akta Pertaruhan 1953.

Ops Soga ini bermula pada 21 November lalu hingga 19 Disember depan, ia bagi membenteras gejala pertaruhan dan perjudian membabitkan Kejohanan FIFA World Cup Qatar 2022.

Kejohanan ini melibatkan sebanyak 32 negara yang dibahagikan kepada lapan kumpulan.

Baca juga: Jutawan sebenar rasa ‘lebih mahal’ tanpa perlu tayang kereta mewah

Baca juga: Adakah aku ahli neraka? Netizen terkejut makan ubat sakit dikira haram oleh Ustazah Afifah