Malaysia Dateline

Jutawan sebenar rasa ‘lebih mahal’ tanpa perlu tayang kereta mewah

Rata-rata individu yang benar-benar bertaraf jutawan sebenarnya rasa ‘lebih mahal’ tanpa perlu tayang kereta mewah.

Hal itulah perlu diteladani golongan remaja supaya bijak merancang kewangan dan tidak mudah terpengaruh dengan pelaburan yang menayangkan simbol kekayaan palsu.

Menurut penasihat kewangan, Shamsuddin Abdul Kadir, pelaburan yang menawarkan pulangan besar dalam tempoh singkat lazimnya tidak boleh dipercayai dan lebih menjurus kepada skim cepat kaya.

“Generasi muda perlu lebih berhati-hati sekiranya ada individu datang menawarkan pelaburan yang didakwa ‘pasti untung’ dan menunjukkan simbol kekayaan palsu seperti kereta dan rumah besar.

“Lebih 10 jutawan yang saya kenal tidak pernah menunjukkan kereta yang mereka miliki, malah mereka berasa ‘lebih mahal’ tanpa perlu menunjukkan kekayaan,” dipetik BH.

Beliau turut memaklumkan terdapat enam jenis pelaburan yang dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu di bank atau institusi kewangan, anak syarikat bank, insurans atau takaful, pelaburan unit amanah serta koperasi.

Jelasnya, hutang boleh dikategorikan kepada dua jenis iaitu hutang yang membuatkan seseorang semakin miskin dan hutang yang menjadikan mereka semakin kaya.

“Hutang pinjaman ASNB untuk pelaburan contohnya, masih relevan yang mana faedah daripada simpanan itu boleh memberi pulangan tinggi dan seelok-eloknya faedah dikumpulkan dalam tempoh 10 tahun.

“Hutang berisiko pula seperti pajak gadai dengan kadar faedah antara sembilan hingga 24 peratus, kad kredit dengan faedah sehingga 18 peratus dan boleh meningkat dua kali ganda jika tidak dibayar dalam tempoh empat tahun,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan anak muda supaya merancang kewangan dengan teratur dan berbelanja secara berhemah bagi memastikan kelangsungan hidup tidak terjejas.

Beberapa bulan lalu, dilaporkan bahawa 60 peratus individu muflis di negara ini terdiri daripada belia, hasil Laporan Pantauan Ekonomi oleh Bank Dunia.

Mengikut perangkaan sehingga 31 Disember 2021 oleh Jabatan Insolvensi, sebanyak 289,766 kes dalam proses kebankrapan.

Baca juga “Gue ikut bangga…”- Netizen Indonesia teruja Anwar jadi PM hingga jadi bualan di negara jiran

Baca juga Adakah aku ahli neraka, netizen terkejut makan ubat sakit dikira haram oleh Ustazah Afifah