Malaysia Dateline

112 guru KAFA, pegawai masjid, jurunikah di Selangor enggan divaksin

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menerima laporan secara terperinci daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berhubung maklumat pengambilan vaksin Covid-19 dalam kalangan guru KAFA, pegawai masjid dan surau serta jurunikah di negeri itu.

“Beta difahamkan, seramai 326 guru KAFA belum mendapat suntikan vaksin Covid-19, manakala 95 guru lagi enggan menerima suntikan vaksin.

“Seramai 59 pegawai masjid juga belum mendapat suntikan vaksin dengan 11 daripadanya enggan berbuat demikian.

“Sembilan jurunikah pula masih belum divaksin dan enam dikenal pasti enggan menerima suntikan,” titah baginda dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sehubungan itu, baginda berharap Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dapat menyegerakan proses vaksinasi Covid-19 terhadap guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah di negeri itu.

Sultan Sharafuddin mengingatkan kepada guru KAFA, pegawai masjid dan jurunikah yang masih berdegil enggan divaksin mungkin tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

Dalam masa sama, baginda turut difahamkan terdapat 268 guru sekolah rendah dan 182 guru sekolah menengah di Selangor juga enggan divaksin.

Baginda berpendapat keengganan guru terbabit boleh membahayakan pelajar sekolah rendah dan menengah di Selangor dan perkara tersebut perlu diambil perhatian oleh pihak berwajib.

“Sukacita Beta mengingatkan bahawa pakar perubatan mengesahkan vaksin ini adalah satu-satunya cara untuk mengatasi penularan wabak Covid-19 buat masa ini.

“Kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan imuniti kelompok bagi mengurangkan risiko jangkitan yang lebih teruk di masa hadapan,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa bahawa pengambilan vaksin Covid-19 adalah diharuskan.

Justeru, baginda bertitah, rakyat Selangor tidak perlu khuatir atau ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin.

“Isu berkaitan pengambilan vaksin Covid-19 ini banyak kali disebut dalam khutbah-khutbah Jumaat dan juga menerusi kenyataan akhbar yang Beta keluarkan.

“Akhirnya, Beta menyeru kepada seluruh rakyat negeri Selangor supaya mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang disediakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kebaikan diri sendiri dan juga masyarakat sekeliling,” titah baginda lagi.