Malaysia Dateline

Guru KAFA yang berdegil enggan divaksin mungkin tidak dibenarkan bertugas

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di negeri itu yang masih berdegil dan enggan mengambil vaksin Covid-19 berkemungkinan tidak dibenarkan meneruskan tugas.

Turut berdepan tindakan sama ialah pegawai masjid dan jurunikah, menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, baginda amat dukacita dengan golongan yang memilih enggan divaksin kerana mereka akan membahayakan diri sendiri dan orang ramai.

“Beta bimbang jika masih ada guru-guru KAFA yang tidak divaksin, ia boleh memudaratkan pelajar.

“Golongan ini sepatutnya mengetahui jika seseorang itu dijangkiti virus Covid-19, suntikan vaksin yang diterima akan dapat mengelakkan mereka daripada menerima kesan yang lebih buruk.

“Malah, Beta difahamkan sejumlah besar kematian akibat Covid-19 di Selangor adalah dalam kalangan mereka yang tidak divaksin,” titah baginda.

Sehubungan itu, baginda mengingatkan kepada guru KAFA yang masih berdegil, mereka berkemungkinan tidak dibenarkan untuk meneruskan tugas.

“Begitu juga kepada pegawai masjid dan jurunikah yang enggan divaksin, mereka juga berdepan dengan tindakan sama,” titah baginda.