Malaysia Dateline

13 treler, trak pikap dari Permatang Pasir hantar bantuan kepada mangsa banjir Kelantan dan Terengganu

Sebanyak tiga treler dan 10 trak pikap dilepaskan dari Permatang Pasir semalam dalam misi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu.

ADUN Permatang Pasir, Faiz Fadzil berkata, misi bantuan itu mendapat sokongan beberapa NGO termasuk Ambulans Mutiara Medic dan syarikat logistik.

Menurutnya, bantuan menumpukan usaha mengumpulkan barang keperluan asas termasuk beras, gula, lampin bayi pakai buang dan pad wanita.

Bantuan kepada mangsa banjir turut mendapat sokongan syarikat logistik seperti Transocean dan Trili Maju

“Terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang termasuk agensi kerajaan, NGO, syarikat swasta dan penduduk Pulau Pinang.

“Terima kasih juga kepada pegawai pejabat Adun Permatang Pasir, JBPP Permatang Pasir dan penduduk Permatang Pasir yang menyumbang dan mendokong program ini,” katanya.

Faiz yang juga Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional itu juga berharap mangsa banjir di Pantai Timur tanah menempuh dugaan musim monsun kali ini.

“Semoga khidmat masyarakat ini dipermudahkan Allah dan mangsa-mangsa banjir diberikan kekuatan berhadapan ujian ini,” tambahnya lagi.

Turut bersama Faiz dalam melepaskan misi bantuan itu ialah Pengarah Syarikat Transocean Holdings Bhd, Ismail Ibrahim dan Pengarah Syarikat Trili Maju Sdn Bhd, Iskandar Bacha Kader Gani.

Banjir besar melanda Pantai Timur Semenanjung baru-baru ini menyaksikan puluhan ribu rakyat terjejas termasuk tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka lenyap dibadai arus deras.

Baca juga Selepas ramai rakyat suka Anwar jadi PM, apa lagi yang Mahathir tidak puas hati?