Malaysia Dateline

143 mangsa sindiket kerja di Kemboja berjaya dibawa pulang

Seramai 143 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja, berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air setakat ini.

Terbaharu, jam 2 petang semalam apabila lima lagi individu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan MH755.

Kementerian Luar dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, seramai 143 mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan daripada 158 kes yang dilaporkan.

“Daripada bilangan mangsa yang diselamatkan, 29 masih berada dalam depoh tahanan imigresen di Kemboja manakala selebihnya telah pulang ke tanah air.

“Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh terus giat menjalankan usaha untuk menjejaki rakyat Malaysia, yang dilaporkan menjadi mangsa sindiket penipuan ini di Kemboja,” menurut kenyataan itu.

Selain Kemboja, Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan-Kedutaan Besar Malaysia yang lain sedang mempergiatkan usaha untuk menyelamatkan rakyat negara ini yang menjadi mangsa sindiket di Laos, Myanmar dan Thailand.

Mengikut rekod, seramai 16 orang rakyat Malaysia di Thailand, 27 di Laos dan lima di Myanmar, yang menjadi mangsa sindiket berjaya diselamatkan, lapor Bernama.

Sementara itu, bilangan yang sedang dijejaki pula adalah seramai 12 orang di Thailand, 28 di Laos dan 54 orang di Myanmar.

Baca juga Jerit pekik anak muda sampai awal pagi, lagu Maya Karin diulang-ulang hantui orang kampung

Baca juga Selepas 10 tahun, Proton kembali ke Afrika Selatan