Malaysia Dateline

Jerit pekik anak muda sampai awal pagi, lagu Maya Karin diulang-ulang hantui orang kampung

Satu perniagaan ‘pengalaman seram’ dengan jerit pekik anak muda sampai awal pagi di Kampung Pulau Bongek, Rembau di Negeri Sembilan menghantui penduduk tempatan.

Suara mengilai menerusi pembesar suara serta lagu dendangan Maya Karin dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004) juga mendatangkan gangguan melampau bunyi bising.

Sehubungan itu, perkhidmatan ‘Misteri Trak Kuning’ yang berkonsepkan haunted ride sejak sebulan lalu itu diarahkan tutup selepas pihak berkuasa menerima aduan daripada penduduk.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, pihaknya telah mengarahkan penganjur berbuat demikian ekoran aduan berhubung gangguan bunyi bising antara pukul 9 malam sehingga 1 pagi.

“Tempat perniagaan telah dilawati dan telah dinasihatkan untuk menghadkan kemasukan pelanggan, mengurangkan bunyi atau suara dari pembesar suara dan menghadkan waktu perniagaan sehingga pukul 12 tengah malam.

“Pada lawatan berkenaan, pemilik iaitu wanita berusia 26 tahun juga telah bersetuju mematuhi nasihat yang diberikan,” dipetik Utusan Malaysia.

Untuk rekod, aktiviti menikmati pengalaman seram mengikut tema dengan menaiki trak kuning itu dijalankan pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Pengunjung akan dibawa menempuh kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti pemilik perniagaan untuk pengalaman seram.

Memaklumkan lanjut, Hazri berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati perniagaan masih belum memperolehi apa-apa lesen atau permit hiburan daripada pihak berkuasa tempatan.

Beliau memberitahu polis telah menasihatkan pemilik perniagaan pada 15 September lalu agar menutup sementara sehingga mendapat lesen atau permit perniagaan hiburan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Pemilik perniagaan akur dan tarikh akhir menjalankan perniagaan pada 16 September lalu,” tambah Hazri lagi.

Baca juga Penyewa dakwa kena ‘scam’, tuan rumah bela hantu raya dah halau tapi nak RM350

Baca juga Banjir: Anggota bomba sudah siap siaga