Malaysia Dateline

227,000 Generasi Z di UK tidak berhasrat pun sambung belajar, bekerja

Sebanyak 227,000 daripada Generasi Z yang menganggur di United Kingdom (UK) mengaku tidak pernah merancang pun untuk mendapatkan pekerjaan.

Tinjauan terhadap remaja berusia 18 hingga 24 tahun itu mendapati lebih suku juta golongan muda yang tidak bekerja atau tidak menyambung pelajaran mendakwa mereka tidak pernah berhasrat untuk memasuki pasaran buruh.

Lapor Daily Mail, dua pertiga lagi mengadu berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan yang baik ketika ini.

Dalam masa sama, tinjauan itu mendedahkan bahawa hampir separuh daripada mereka yang bekerja, masih menerima sokongan kewangan daripada keluarga mereka, dengan jumlah itu meningkat kepada 50 peratus di London.

Sementara itu, lebih daripada satu perlima atau 21 peratus golongan muda tidak memahami bagaimana cara untuk berjaya memohon pekerjaan sementara hampir 30 peratus lagi beranggapan mereka tidak akan berupaya mencapai cita-cita kerjaya mereka.

Hasil tinjauan terhadap 5,000 golongan muda itu juga mendapati hampir separuh daripada mereka yang menganggur merasakan pendidikan yang dimiliki tidak membantu mereka memperoleh kemahiran mencukupi untuk mendapat pekerjaan.

Kaji selidik oleh organisasi pendidikan, City and Guilds yang diterbitkan dalam laporan bertajuk ‘Youth Misspent’ turut mendedahkan bahawa 68 peratus lagi melaporkan berasa tidak cekap atau tidak yakin dengan kemahiran mereka ketika mencari pekerjaan.

Laporan tersebut juga mendapati ramai responden mempunyai cita-cita kerjaya yang terlalu tinggi malah hampir tidak realistik manakala ramai yang lain kecewa dengan keadaan pasaran pekerjaan selepas terdapat hampir 859,000 golongan dewasa yang turut menganggur.

Separuh daripada mereka yang mengambil bahagian dalam tinjauan itu berkata, mereka menyangka akan memperoleh lebih daripada gaji median UK iaitu 28,000 pound (RM150,168) dalam tempoh lima tahun akan datang.

Walhal, realitinya 79 peratus daripada semua golongan dewasa bekerja memperoleh kurang daripada 30,000 pound (RM150,168) setahun.

Penemuan tinjauan juga menyaksikan sebanyak 15 peratus golongan muda berharap untuk bekerja dalam industri seni, hiburan dan rekreasi walaupun industri ‘glamor’ itu hanya membentuk dua peratus daripada pasaran buruh tahun ini.

Sebaliknya, ketika sektor perdagangan borong dan runcit menyediakan lebih 14 peratus daripada jumlah peluang pekerjaan di negara itu, hanya dua peratus daripada mereka mahukan pekerjaan dalam industri tersebut, lapor Daily Mail lagi.

Baca juga Anwar umum senarai 27 Timbalan Menteri – Saiz kurang berbanding era Ismail Sabri, Muhyiddin

Baca juga Mahathir teruja lihat ‘Polestar 2’, berharap PROTON ikut jejak sama keluarkan kereta elektrik sendiri