’23 tahun! Sampai bila nak letak batu’-Penduduk 3 kampung di Pasir Mas mahu jalan berturap

Oleh NASUHA RAHMAN

Sejak 23 tahun yang lalu, penduduk di tiga kampung di Pasir Mas terpaksa menggunakan jalan yang tidak berturap sekaligus menyusahkan mereka.

Walaupun aduan dibuat banyak kali namun pihak bertanggungjawab hanya melakukan kerja-kerja meletakkan batu di permukaan jalan.

Keadaan menjadi bertambah payah apabila hujan turun menyebabkan permukaan jalan menjadi becak dan ditakungi air.

Bagaimanaplun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chetok, Zuraidin Abdullah memaklumkan masalah tersebut sudah berada dalam pengetahuan pihaknya.

Namun, sebelum kerja-kerja penurapan jalan dilakukan, Adun berkenaan menjelaskan pihaknya akan mengusulkan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas terlebih dahulu.

“Sebagai langkah awal kita telah meletakkan batu di laluan tersebut bagi memberikan keselesaan kepada penduduk setempat,” katanya.

Lebih menggusarkan penduduk, laluan alternatif sejauh satu kilometer itu turut digunakan oleh murid untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kepas yang dibimbangi boleh mengundang bahaya sekiranya tidak berhati-hati semasa melalui jalan tersebut.

Wakil penduduk, Zakaria Mamat, 62, situasi itu bertambah teruk sejak dua bulan lalu susulan hujan setiap petang yang menyebabkan permukaan jalan menjadi becak dan ditakungi air.

Menurutnya, situasi itu membuatkan penduduk sukar mengelak lopak tersebut yang boleh mengundang bahaya jika tidak berhati-hati.

“Aduan kepada penghulu sudah dibuat beberapa kali, apabila kami bersuara (aduan) mereka akan datang melakukan kerja-kerja meletakkan batu.

“Sampai bila perlu melakukan perkara yang sama, jadi saya mohon kepada wakil rakyat supaya dapat menurap laluan ini dengan kadar segera bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya dipetik Utusan Online.

Baca juga: Salah guna kuasa, guru besar wanita ditahan beli barangan sekolah guna syarikat sendiri

Baca juga: Tiga beranak maut, kemalangan babit tiga kenderaan