Malaysia Dateline

268 keluarga B40 di Parlimen Bagan bakal terima bantuan

Seramai 268 keluarga kategori B40 di Parlimen Bagan akan menerima bantuan RM100 yang diharap dapat meringankan beban kewangan mereka pada zaman Barang Naik sekarang.

Ahli Parlimennya, Lim Guan Eng hari ini berkata, bantuan tersebut diagih melalui 4 MPKK iaitu MPKK Taman Bagan, MPKK Kampung Baru, MPKK Bagan Luar dan MPKK Jalan Heng Choon Thian.

Menurutnya, agihan tersebut bagi memastikan bantuan segera sampai kepada penerima.

Beliau yang juga Pengerusi DAP berkata demikian selepas menyampaikan bantuan kewangan kepada dua lagi penduduk di Bagan yang menghadapi masalah kesihatan.

“Puan Amuphawalli, seorang peniaga sayur di pasar pagi yang menghidap penyakit kencing manis, kolestrol tinggi dan buta sebelah mata.

“Walaupun dengan pelbagai masalah kesihatan, beliau tetap terus berniaga untuk menampung kehidupan harian keluarga dan mendapatkan rawatan.

“Encik Tan (gambar atas), hilang kemampuan untuk bekerja selepas terkena serangan strok dan lumpuh separuh badan.

“Walaupun tidak berkeluarga dan mendapat bantuan bulanan daripada JKM, beliau masih memerlukan bantuan untuk menampung kehidupan kerana tiada sumber pendapatan sendiri,” katanya mengenai dua penerima bantuan yang disampaikannya hari ini.

Amuphawalli yang menghidap diabetes, kolestrol tinggi dan buta sebelah mata menerima bantuan disampaikan Lim Guan Eng.

Baca juga Kenapa Najib, Zahid ponteng Parlimen semalam timbulkan tanda tanya