Malaysia Dateline

“3 hari licin RM519,000!”- Isteri halau suami lepas dapat tahu wang KWSP diguna untuk berjudi

Nasi sudah menjadi bubur. Begitulah perumpamaan sesuai untuk menggambarkan situasi seorang pesara yang tanpa sedar sudah menghabiskan lebih setengah juta ringgit wang dari tabung persaraannya hanya untuk berjudi.

Seperti perkongsian pemilik akaun Bro Fairus Channel baru-baru ini, dia menceritakan semula kisah yang dihadapi bapa kepada rakannya. Dikatakan, lelaki berusia 58 tahun itu berjudi menggunakan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baru dikeluarkannya.

Lelaki tersebut mengeluarkan wang berjumlah RM560,000. Dia kemudian telah memberikan kepada si isteri sebanyak RM30,000 sebagai tanda terima kasih kerana selama ini menyokongnya sepanjang perjalanan kariernya.

Namun tanpa disedari, dugaan besar melanda apabila suaminya itu didapati telah menghabiskan wang yang ada ke pusat perjudian dalam masa hanya 3 hari

Dari RM519,000, kini duit persaraan hanya berbaki RM11,000 sahaja. Terkejut dengan tindakan suaminya yang sanggup menghabiskan ratusan ribu untuk berjudi, si isteri kemudian menghalau lelaki tersebut dari rumah, dan bercerai berai.

“3 hari 3 malam ayah dia tak balik rumah. Kehabisan RM519,000 akibat berjudi dan menjadikan baki hanya RM11,000. Orang yang menghantar ayahnya balik ketika itu adalah tauke judi itu sendiri sebab tauke itu pun tak tahan dengan keghairahan ayah dia ni.

“Hari ini ayah dia telah dihalau oleh ibu dia oleh kerana rasa kecewa seorang isteri yang selama ini memberi sokongan sepenuhnya dalam kerjaya ayah dia, tetapi ayah dia buat tindakan bodoh. Di kala umur 58 tahun menangis, mencari rumah sewa dengan baki duit hanya RM11,000

“Hari ini mereka sudah berpecah belah, bercerai berai bergaduh anak-beranak. Aku nasihatkan 1 perkara, bagaimanapun keadaan itu ayah kau. Perkara ini tidak boleh dipatah balik. Hormati dia, kasihi dia, berkhidmat sebaiknya walaupun dia dah lakukan kesilapan paling besar menyebabkan keluarga berpecah belah,” katanya.

Perkongsian Fairuz itu menarik perhatian ramai dengan ada yang berkongsikan pengalaman berhabis ratusan ribu disebabkan judi.

“Cerita dia macam ni. Bawa RM100k. kalah dah RM30k. Aduh sayang pula kalah. Cuba lah lagi berharap dapat balik modal.. last-last semua habis.. pengalaman aku,” tulis pengguna TikTok.

Ada juga yang berkata, apabila sudah menang sekali pasti akan terjebak. Tetapi menang sekali, kalahnya pula akan berkali-kali.

Apa yang memeranjatkan apabila ada yang memberitahu, mereka yang berjudi ini kadangkala sampai sanggup mempertaruhkan isteri sendiri.

Baca juga: Pendakwah bagi amaran agar kerajaan batal konsert Blackpink di KL, atau himpunan akan digerakkan

Baca juga: Tak sangka jadi keldai akaun tanpa sedar lepas cagar kad bank untuk pinjam duit