Malaysia Dateline

Pendakwah bagi amaran agar kerajaan batal konsert Blackpink di KL, atau himpunan akan digerakkan

Penerimaan konsert hiburan dari artis luar negara nampaknya tidak mendapat reaksi yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia. Sejak berlangsung konsert Billie Eilish pada 18 Ogos lalu, lebih banyak kritikan dilemparkan yang tidak bersetuju dengan acara berbentuk ‘lagha’ diadakan.

Mereka mengandaikan apa yang berlaku sebagai satu petunjuk umat akhir zaman yang lebih gemar berhibur di konsert-konsert tidak memberi faedah. Terbaru, jangkaan kehadiran kumpulan ‘band girl’ popular, Blackpink di Ibu Kota pada Mac 2023 pula mengundang rasa tidak senang dalam kalangan pendakwah.

Seperti yang dicoretkan oleh pendakwah bebas, PU Syed atau Syed Mohd Bakri di Instagram miliknya, dia membantah penganjuran konsert kumpulan Kpop itu yang dijadualkan akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Syed menegaskan, kerajaan wajib menghalang kumpulan ini dari menjejaki Malaysia atau dia dan pengikut akan mengadakan himpunan membantah konsert tersebut.

“Dalam jadual mereka selepas (Arab) Saudi, kumpulan Kpop Blackpink ni akan datang ke Malaysia. Ejen-ejen Dajjal sudah semakin rancak menyelinap masuk dalam negara-negara Islam.

“Kerajaan wajib halang kumpulan ini dari jejak kaki mereka ke bumi Malaysia atau kami akan usahakan untuk buat himpunan d membantah kehadiran mereka ini!

“Mac 2023 bukan lama lagi. Mula dari sekarang gerakan untuk halang mereka ini! Keselamatan akidah dan akhlak umat Islam perlu dijaga,” tulisnya di Ig.

Sementara itu Syed berkata, jika ada orang bukan muslim yang hendak berhibur, silakan pergi ke Korea atau ke mana sahaja tetapi jangan di Malaysia.

Pada masa sama, dia juga memuatnaik satu tangkap layar perbualan dengan seorang individu yang memberitahu bahawa Blackpink akan hadir ke Malaysia selepas membuat konsert di Arab Saudi.

Individu tersebut berkata, membawa kumpulan dari Korea Selatan ini memasuki Malaysia sama seperti membawa Dajjal.

Justeru dia meminta pendakwah bebas itu untuk menasihatkan orang ramai terutama anak muda agar tidak lalai dengan hal duniawi.

Baca juga: Baru berusia 24 tahun dah ada kelayakan mengajar tahfiz seluruh dunia, remaja ini pemegang ‘Syahadah Ula al-Fateh’

Baca juga: Najib serah nasibnya pada Allah, kongsi maksud surah Surah Al-Imran