3 juta penduduk di seluruh negara bakal terjejas tapi negeri ini paling banyak kawasannya ditelan laut

Oleh ARIF ATAN

Kenaikan aras laut setinggi 13 cm dijangka akan memberi impak kepada 3 juta penduduk negara ini, mengikut laman globalfloodmap.org.

Menurut pemerhati iklim, MatGeo, kenaikan aras laut berlaku perlahan-lahan dan angka penduduk terjejas tersebut berdasarkan jumlah penduduk hari ini.

“Ini bermakna jika ia makan masa 100 tahun, lebih ramai jumlah penduduk yang terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Dalam masa sama, katanya, Perak bakal menjadi negeri yang paling banyak kawasannya ditelan laut.

Walau bagaimanapun, jelasnya, Ipoh masih selamat berbeza dengan banyak ibu negeri lain yang diramal ditenggelami laut.

“11 ibu negeri lain tenggelam setinggi bangunan antara 2 hingga 4 tingkat,” katanya.

Beberapa bulan lalu, World Meteorological Organization memaklumkan berlaku kenaikan purata aras laut iaitu 4.5 mm setahun bagi tempoh 2013 hingga 2022.

“Purata kenaikan air laut 1993 – 2012 ialah 2.1 mm setahun. Ia dilihat bertambah 0.8 mm kepada purata 2.9 mm setahun bagi 2003 – 2012.

“Mengejutkan, ia bertambah 1.6 mm kepada 4.5 mm setahun bagi purata 2013 – 2022,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat mengikut trend itu, tentu sahaja bagi 2023 hingga 2032 ia akan bertambah 3.2 mm dari purata 2013 – 2022 iaitu 4.5 mm setahun kepada 7.7 mm setahun.

“Penggandaan kenaikan purata 10 tahun ini, mungkin mencatat pertambahan 6.4 mm pada 7.7 mm setahun menjadikan purata bagi 2033 hingga 2042 mungkin sahaja 14.1 mm setahun.

“Maka bagi purata 2043 hingga 2052, purata tahunan 10 tahun sebelumnya, 14.1 mm, sudah bertambah 12.8 mm menjadi 26.9 mm setahun.

“Dari semua ini, dilihat sepanjang 2022 hingga 2032, laut akan meningkat 77 mm, bagi 2032 hingga 2042 pula kenaikan keseluruhan ialah 141 mm dan bagi 2042 hingga 2052, kenaikannya dijangka 269 mm,” kata MatGeo.

Selanjutnya, kata beliau, sehingga 2052, dijangkakan paras laut telah meningkat 487 mm atau atau 0.487 meter.

“Pada kadar eksponental begini, air laut sudah naik 14.78 meter pada tahun 2100,” tambahnya lagi.

Baca juga ‘Musnahnya alam memang disebabkan politik, bubur dah jadi gam kanji’

Baca juga 8 biji kek untuk sambutan hari lahir kelapan, netizen tertanya-tanya hantaran Aaisyah nanti berapa