Malaysia Dateline

‘Musnahnya alam memang disebabkan politik, bubur dah jadi gam kanji’

Gondolnya kawasan bukit batu kapur di sekitar Ipoh akibat ditarah untuk aktiviti kuari memang disebabkan tindakan politik, tegas pemerhati geografi, MatGeo.

Beliau bimbang kemusnahan alam di kawasan Geopark Lembah Kinta yang membabitkan keluasan 1,952 hektar merangkumi daerah Kinta dan Kampar itu sukar dipulihkan dalam tempoh singkat.

“Bukanlah saya kebulur nak berpolitik. Cuma musnahnya alam ni memang disebabkan politik.

“Nasi dah jadi bubur, bubur dah jadi gam kanji. Hari ini jika dihentikan aktiviti ini, 100 tahun pun belum tentu segalanya kembali ‘pulih’

“Lepas tu satu negara tuduh orang Ipoh tak peduli,” keluhnya menerusi hantaran di Facebook.

Menurutnya, terdapat harapan menjelang 2018 untuk berhentinya kegiatan kuari batu kapur di Kinta dengan hasrat hanya membenarkan perlombongan batu kapur bawah tanah.

Walau bagaimanapun, kata pempengaruh dengan lebih 120,000 pengikut itu, hasrat tersebut tergendala apabila berlaku perubahan kerajaan.

“Kilang simen Tasek, Hume dan Lhoist telah melakukannya dengan hanya mengeksploit sumber bawah permukaan tanah.

“Ini selaras dengan hasrat menjadikan pergunungan batu kapur di Kinta sebagai sebuah geopark.

“Tetapi setelah pemerintahan negeri bertukar, polisi tersebut juga bertukar. Siapa Menteri Besarnya dan di mana beliau sekarang,” katanya.

Gunung Lanno musnah teruk ditarah projek kuari sekaligus mengundang ancaman bencana alam pada masa depan.

Namun, ujarnya, menjelang PRU15 ini ada seruan pelik di Parlimen Tambun daripada mereka yang digelarnya ‘pemuka agama’.

“Aneh, pemuka agama dalam Tambun menyeru orang Tambun mengundi beliau. Boleh untuk mengundi parti 16 huruf itu, tetapi tidak bermoral untuk mengundi tangan-tangan yang dah buat kerosakan.

“Bukan dia sahaja yang bertanding. Ada empat calon. Bos Imika, Ketua Bahagian Tambun, PM tepi ada,” kata MatGeo lagi.

Sebelum ini, media melaporkan Gunung Lanno dengan ketinggian lebih 370 meter berusia lebih 330 juta tahun bakal lenyap dari peta negeri Perak akibat aktiviti kuari di kawasan Simpang Pulai, Ipoh.

Gunung terbesar di Lembah Kinta yang memiliki lebih 30 gua batu kapur cantik dan unik itu semakin hari semakin musnah dengan terdapat lebih 20 kilang kuari ditempatkan di zon tersebut setakat awal tahun lalu.

Bekas Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad dari BN menerusi kenyataan pada 8 Februari tahun lalu berkata, segala aktiviti kuari di Perak sekurang-kurangnya tertakluk kepada lima akta dan enakmen termasuk Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Menurutnya, industri pengkuarian dikawal melalui lesen melombong pemiliknya yang tertakluk kepada ulasan dan syarat jabatan teknikal berkaitan seperti Jabatan Geosains dan Mineral (JMG), Jabatan Alam Sekitar (EIA) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).

Walau bagaimanapun, sejak 1919 hingga 2015, sebanyak 16 kes besar membabitkan runtuhan batu kapur direkodkan di Perak, dedah pakar Geologi Kejuruteraan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ir Dr Goh Thian Lai.

Menurutnya, gegaran daripada letupan boleh mencetuskan jatuhan batuan dan runtuhan tanah yang boleh menganggu kestabilan tebing bukit batu kapur.

Baca juga Ladang solar patut diapung atas tasik empangan hidroelektrik

Baca juga Fuh! Cincin berlian ‘buah pear’ dijual dengan harga RM135 juta!https://themalaysialife.com/fuh-cincin-berlian-buah-pear-dijual-dengan-harga-rm135-juta/