Malaysia Dateline

36 jemaah umrah dibawa pulang, terkandas sejak 5 bulan lalu kerana terpedaya Imam Mahdi akan muncul

Sekumpulan 36 daripada 63 jemaah umrah warga Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi selepas kesemua mereka terkandas di Arab Saudi kerana terpedaya dengan ‘Pak Habib’ yang mendakwa Imam Mahdi akan muncul di Arafah.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan jemaah terbabit yang terkandas sejak Jun lalu itu tiba pada jam 5.50 pagi.

Baki seramai 27 orang jemaah lagi akan dibawa pulang menerusi penerbangan seterusnya, maklum Kementerian Luar menerusi kenyataan media hari ini.

“Kumpulan pertama itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang dekat sini pukul 5.50 pagi tadi dengan Malaysia Airlines penerbangan MH153,” katanya.

Sebelum ini, seramai 63 jemaah umrah terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak dilaporkan terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

Jemaah berkenaan dilaporkan dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.

Mereka dikatakan terpedaya dengan pemimpin tarekat berkenaan yang mendakwa kononnya Imam Mahdi akan muncul di Arafah.

Namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.

Kesemua mangsa terpaksa tinggal di Masjid Nabawi dan mengharap ehsan wang dan makanan daripada orang ramai yang memberi bantuan.

Ketua tarekat gerakan tersebut turut dilaporkan telah diusir keluar oleh pihak kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas susulan daripada pelanggaran undang-undang tempatan berkaitan visa.

Sementara itu, kerajaan Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua pihak dalam membantu usaha terbabit dan kerajaan kekal komited untuk memastikan keselamatan serta kebajikan warganegara Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara melalui bantuan konsular berdasarkan Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsular 1963.

“Warganegara Malaysia adalah dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara,” menurut kenyataan itu.

Baca juga: Luar biasa! Lautan manusia banjiri pekarangan rumah Shah Rukh Khan sempena hari lahir aktor itu

Baca juga: Pemandu ambulans tunjuk rakaman diganggu makhluk halus yang menangis tiba-tiba