Malaysia Dateline

4 syarat hilang kelayakan sebagai MP ada pada Najib

Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan amat jelas bahawa Datuk Seri Najib Razak telah pun hilang kelayakan menjadi Ahli Parlimen setelah perkara tersebut menyatakan seseorang hilang kelayakan untuk menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen jika telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan.

Malahan, jika ia dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak mendapat pengampunan bebas.

Anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Kebebasan Asasi dan Hak-Hak di Bawah Perlembagaan, Hassan Abdul Karim berkata, Mahkamah Persekutuan Malaysia yang menjadi mahkamah tertinggi dalam Persekutuan Malaysia telah pun menjatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun dan denda RM210 juta.

“Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut merupakan keputusan terakhir dalam sistem mahkamah di Malaysia dan tidak ada mahkamah lain yang lebih tinggi daripada Mahkamah Persekutuan dalam sistem perundangan negara ini.

“Walaupun Najib ada memfailkan permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong, prosiding pengampunan Diraja tersebut belum lagi didengar dan Lembaga Pengampunan Diraja bukannya mahkamah.

“Pengampunan Najib kepada Yang di-Pertuan Agong mestilah atas nasihat Perdana Menteri dan Baginda hendaklah bertindak mengikut Perkara 40(1)Perlembagaan Persekutuan iaitu bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri,” ujarnya yang juga merupakan Ahli Parlimen Pasir Gudang.

Tambah Hassan lagi, dari segi undang-undang, sabitan kesalahan Najib dalam pertuduhan kes SRC International adalah kekal dan tidak ada penggantungan pelaksanaan (stay of execution) diberikan oleh Mahkamah Persekutuan kepada Najib.

Sehubungan itu katanya, semua syarat hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen ada pada Najib dan agak pelik dan aneh apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Harun memutuskan Najib masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan.

Tegas beliau, tidak ada dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa sekiranya seseorang Ahli Parlimen merayu kepada Lembaga Pengampunan Diraja atau memohon semakan mahkamah maka kelayakannya sebagai Ahli Parlimen tetap kekal.

Sebaliknya, kata Hassan, apa yang dinyatakan dengan jelas di bswah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan ialah jika pesalah itu (yang telah dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda yang tidak kurang daripada dua ribu ringgit) dan dia tidak mendapat pengampunan bebas maka ia hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen.

Jelas Hassan lagi, adalah disarankan supaya Azhar mengkaji semula keputusan tentang kelayakan Najib sebagai seorang Ahli Parlimen.

Baca juga Najib diami rumah pegawai senior – Ini penafian Jabatan Penjara

Baca juga Bapa merajuk bawa diri tinggal di gua 30 tahun, 7 anaknya langsung tiada tanya khabar