Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati menjangka akan menerima lebih 6,000 pengunjung hari ini berikutan kes baharu untuk daerah Petaling hampir 10,000 untuk dua hari lalu.
Jika angka tersebut menjadi realiti, jumlah pengunjung ini melebihi 4,500 yang direkodkan pada 12 Julai lalu apabila kekecohan berlaku di CAC berkenaan sehingga mendapat perhatian media luar negara, Al Jazeera.
Hal tersebut disahkan Ahmad Sayuti Bashiron, Pengurus Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) yang menjadi koordinator untuk kemudahan fasiliti di CAC Stadium Melawati menerusi Facebook beliau pagi ini.
“Hari ini, Rabu 21/7, hanya satu lagi hari yang paling teruk akan datang untuk CAC Malawati,” tulis Sayuti awal pagi ini.
Sejak awal pagi beliau dan pasukannya sudah berada di CAC Melawati bagi membuat persiapan tersebut.
Sayuti memberikan justifikasi bagaimana beliau menjangkakan kedatangan lebih 6,000 pengunjung ini berdasarkan jumlah kes positif baharu yang direkodkan di daerah Petaling pada 19 dan semalam.
CAC Stadium Melawati hanya menerima kes kritikal sahaja petang semalam kerana ramai petugasnya bercuti sempena Hari Raya Aidil Adha.
“Bagaimana anda mengukur? Kes baru Covid-19 20/7 + Kes 19/7 = Jumlah 9,929 x 2/3 (Petaling sahaja) = Turnout #6619,” kata beliau.
Sebelum ini, Malaysia Dateline sudah membuat laporan berdasarkan sumber, CAC Stadium Melawati kemungkinan akan menerima lebih 6,000 pesakit Covid-19 hari ini.
Cadangan telah dibuat oleh Pengerusi Selangor Task Force Covid-19 (STFC), Datuk Dr Dzulkefly Ahmad agar pesakit kategori 1 dan 2 tidak dibawa ke CAC kerana mereka sepatutnya dikuarantin di rumah masing-masing.
Namun, sehingga 18 Julai lepas, cadangan itu belum mendapat lampu hijau sepenuhnya dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semalam, walaupun cuti Hari Raya Aidil Adha, CAC Stadium Melawati tetap dibuka walaupun pada sebelah petang sahaja untuk menerima rawatan pesakit yang kritikal.
“Sudah menjadi macam hospital pula CAC ini,” kata Sayuti.
Menurut KKM, CAC akan berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai untuk dipantau di rumah. Petugas CAC kemudian akan memantau dan menilai pesakit di rumah menggunakan Home Assessment Tool (HAT). Pasukan CAC juga akan bertindak mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk.
CAC juga akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 dan 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan dan tidak sesuai dipantau dari rumah.
CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau ke hospital.