Malaysia Dateline

53 kes bunuh diri di Pulau Pinang, MKN diseru laksana PKP lebih longgar

Majlis Pimpinan Negeri PKR Pulau Pinang menyeru Majlis Keselamatan Negara (MKN) mempertimbangkan bagi menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat pada masa ini.

Pemangku Pengerusinya, Bakhtiar Wan Chik berkata, MKN perlu melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang lebih longgar di beberapa daerah tertentu di negeri itu.

Ahli Parlimen Balik Pulau berkenaan menegaskan ketegangan ekonomi pada masa ini semakin memuncak ekoran tindakan penutupan sektor yang ketat dan tidak bersasar.

“Keadaan sekarang ini menemui jalan buntu, masyarakat tenggelam punca. Kes harian tetap dengan jumlah yang tinggi walaupun perintah kawalan pergerakan dilaksanakan.

“Terlalu ramai pemilik perniagaan kecil dan sederhana telah memilih untuk menutup premis mereka. Barang-barang peniaga kecil dan sederhana ini dijual bagi menampung kelangsungan hidup mereka.

“Dalam keadaan yang lebih teruk, sekatan ini menyumbang kepada korban nyawa. Di Pulau Pinang sahaja, 53 kes bunuh diri telah dilaporkan dalam lima bulan terakhir.

“Kami percaya akibat tekanan hidup ekoran tiada kelangsungan punca pendapatan pada masa pelaksanaan PKP ini menyumbang kepada angka kematian ini,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, hanya Pulau Pinang hari ini merekodkan penurunan kes baharu Covid-19 iaitu 108 kes berbanding 159 kes semalam.

Dalam tempoh 14 hari, Seberang Perai Tengah mencatatkan 580 kes Covid-19 manakala Timur Laut (412 kes), Seberang Perai Selatan (369 kes), Barat Daya (239 kes) dan Seberang Perai Utara 463 kes.

Kes sporadik

Menurut Bakhtiar, pengalaman PKP yang pertama harus diakui cukup berkesan menangani Covid-19 yang secara tidak langsung menghasilkan keputusan yang baik dalam mencapai matlamat MKN.

“Pengalaman tersebut harus diambil dan diterjemahkan pada waktu ini yang dilihat kucar-kacir.

“Penutupan majoriti sektor ekonomi ditambah dengan kekurangan sokongan kewangan yang berterusan dari kerajaan Persekutuan telah menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan dan pendapatan,” jelasnya lagi.

Mengulas situasi pandemik di Pulau Pinang, beliau berkata, keadaan di negeri utara tanah air itu bertambah baik sepanjang PKP.

“Pada 13 hingga 19 Jun, Pulau Pinang antara negeri yang mencatatkan kadar positif yang terendah di negara ini iaitu 3.36 peratus.

“Dengan peratusan kes sporadik pula, Pulau Pinang mencatatkan kedudukan kedua yang paling rendah di negara ini, iaitu 38.36 peratus,” ujarnya.

Sehubungan itu, Bakhtiar berkata, MKN harus secara serius menggunakan langkah-langkah kawalan dan pendekatan PKP yang lebih baik dan bersasar bagi setiap negeri, pelaksanaan rentas daerah, dan pelaksanaan rentas negeri.

“Dengan jangkitan yang terkawal kerana kewujudan kaedah pengesanan kontak rapat yang lebih efektif, kami yakin sudah tiba masanya sekatan pergerakan terpilih perlu diperkenalkan,” katanya.

Menurutnya, hal itu perlu dilaksanakan bagi membolehkan masyarakat terutama mereka yang menjalankan perniagaan kecil dan sederhana dapat menebus kembali kerugian mereka selama ini.