Malaysia Dateline

6 adab ini penting jika beraya di rumah orang, nombor 3 tu kena jaga sikit

Pejam celik, pejam celik rupanya dua tahun dah rakyat Malaysia tak dapat pulang ke kampung dan beraya dengan sanak saudara. Teruja rasanya nak pergi berkunjung dan beraya di rumah orang setelah sekian lama tak dapat lakukan tradisi tersebut ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Nak beraya di rumah orang ini ada adab-adab yang perlu anda ambil tahu supaya raya nanti tidaklah buat perkara yang boleh buat tuan rumah tidak selesa. Ini kami kongsikan enam tips berkunjung ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga.

1) Beritahu awal jika nak datang

Jangan pergi terlalu awal atau lewat malam kerana tuan rumah mungkin sedang membuat persiapan dan mahu berehat. Rancang trip kunjungan anda dan sebaiknya maklumkan kepada tuan rumah. Ini supaya tuan rumah boleh membuat persiapan awal dan boleh tunda kepada hari lain jika tiada di rumah

2) Kawal pergerakan anak-anak

Jangan biarkan anak-anak berlari dan memasuki bilik tidur tuan rumah seolah-olah seperti rumah sendiri. Kawal mereka, jangan sampai pasu bunga rumah orang pecah. Nanti lain jadinya.

3) Jangan terburu-buru jamah hidangan tapi jangan sampai tak jamah kalau dipelawa

Ambil masa sebentar bertanya khabar dan bersembang dengan tuan rumah. Bila dijemput makan dan minum, barulah anda ajak suami/isteri dan anak-anak ke meja makan.

Tapi walaupun anda kenyang, sekurang-kurangnya jamahlah sedikit hidangan yang disediakan oleh tuan rumah untuk menjaga hati serta perasaan mereka. Nanti sedih pula tuan rumah tengok kalau air yang dibuat langsung tidak diminum.

4) Jangan buka sampul duit raya depan tuan rumah

Jangan benarkan anak-anak buka angpau yang diberi di hadapan tuan rumah, ia akan membuatkan tuan rumah kecil hati jika anak anda protes pemberian yang diberi dalam jumlah yang kecil. Sebaik-baiknya, anda ambil dari tangan anak dan simpan.

5) Elak bersembang pasal politik

Jangan sesekali buka cerita pasal politik tanah air. Ia akan menyebabkan masing-masing tidak berpuas hati dan bermasam muka. Seperti yang kita tahu, masing-masing mempunyai agenda politik yang berbeza.

6) Hadkan masa berkunjung

Kebiasaannya jika di bandar-bandar, jam 12 tengah malam masih lagi meriah dengan kunjungan saudara mara dan selalunya tuan rumah memang terbuka menerima kunjungan tetamu.

Jika anda tahu sudah larut malam untuk anda datang berkunjung, lebih baik anda tangguhkan dahulu niat beraya. Tetapi jika tuan rumah tiada masalah menyambut anda lewat malam, anda bolehlah datang. Bagaimanapun letaklah had kunjungan anda itu. Janganlah berborak berjam-jam sampai mengganggu waktu rehat tuan rumah.

Baca juga: Khemah Besar: Memaafkan, melupakan perkara lalu penting untuk kesepaduan politik pembangkang

Baca juga: Biawak Bengal dirogol empat lelaki, siap rakam perbuatan terkutuk