Malaysia Dateline

6 FAQ anak muda: Isu Cina DAP dalam Pakatan Harapan

(FAQ ini disediakan oleh Abu Luqman Hakim dan sekumpulan pensyarah IPT berdasarkan pertanyaan sekumpulan anak muda)

Soalan Anak Muda 1: Mengapa isu DAP dalam politik Malaysia panas?

Jawapan: Isu DAP seperti isu perkauman yang lain amat popular dan menjadi isu yang cepat mendapat sambutan serta boleh melonjakkan segera populariti seorang ahli politik. Namun ahli politik yang berwibawa, kaya dengan idea, bijak mengutarakan solusi kepada masalah rakyat tidak bergantung kepada isu sentimen seperti ini.

Hanya mereka yang tidak kompeten dan tidak boleh berdiri atas kewibawaan sendiri naik melalui isu-isu sentimen perkauman dan keagamaan.

Soalan Anak Muda 2: Betulkah Cina DAP merbahaya dan betulkah DAP itu parti komunis?

Jawapan: Isu Cina DAP adalah komunis dan merbahaya muncul setiap kali pilihanraya. Ia bagai toyol (hantu) yang dicipta untuk menakutkan orang ramai seraya memberi nafas politik kepada pencetusnya.

Toyol DAP adalah ciptaan parti lawan Pakatan Harapan iaitu parti yang berkuasa yang pemimpinnya banyak skandal rasuah dan membolot kekayaan negara. Isu ini dihidupkan untuk mengalih pandangan rakyat.

Seperti yang anda semua lihat sendiri, kekayaan bekas Presiden UMNO dan isterinya adalah luar biasa. Begitu juga Presiden UMNO sekarang berdepan 33 pertuduhan jenayah berjumlah SG$133.56 juta.

Mengenai komunis, Parti DAP adalah serpihan daripada parti PAP Singapura seperti yang dipelajari dalam subjek Sejarah di sekolah menengah, sebuah parti yang menentang komunis bukan pendokong komunis. Ideologi DAP adalah sosial demokrasi yang mahukan rakyat makmur, maju dan aman dalam sebuah masyarakat yang bersatu.

Mencipta toyol ini boleh berlaku di mana-mana untuk tujuan yang pelbagai. Amerika Syarikat mencipta toyol senjata pemusnah yang dimiliki Iraq, yang memberi mereka alasan untuk menakluk negara itu pada tahun 2003. Sehingga kini senjata pemusnah tersebut tidak ditemui tetapi bumi Iraq hancur lebur dengan setengah juta rakyat Iraq terkorban.

Awas, ini satu peringatan yang ngeri betapa perbalahan sesama rakyat boleh berlaku jika sentimen perkauman dan kebencian yang dimainkan oleh ahli politik yang rakus ini tidak kita hentikan.

Soalan Anak Muda 3: Bilangan calon DAP ramai. Jika DAP menjadi parti dominan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), mungkinkah DAP akan meminggirkan orang Melayu?

Jawapan: Sekali lagi ini adalah toyol untuk menakut-nakutkan orang Melayu. Memang benar DAP bertanding di 40 kerusi yang kebanyakannya di kawasan bandar atau yang ramai kaum Cina. Tetapi jumlah ini adalah daripada 112 kerusi yang disasarkan oleh PH untuk menang majoriti mudah. Ini bermakna hanya 35% daripada jumlah ahli Parlimen PH.

Pakatan Harapan dipimpin oleh DS Anwar Ibrahim, seorang pejuang aspirasi Islam dan keadilan, yang menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Bahawa Cina DAP akan meminggirkan Melayu adalah momokan parti lawan untuk mengabui mata rakyat yang kurang membaca dan tidak mengetahui fakta.

DAP telah mengetuai kerajaan Pulau Pinang sejak tahun 2008. Rata-rata rakyat Melayu Pulau Pinang selesa dan tidak menghadapi masalah di bawah DAP selama 15 tahun. Tidakkah semasa Pulau Pinang di bawah parti Cina Gerakan di bawah BN, nasib orang Melayu lebih tertekan sehingga keluar naratif “Nasib Melayu Pulau Pinang” pada era 70-an dan 80-an dahulu?

Namun, Pulau Pinang pada hari ini menjadi lebih maju malah usaha dakwah dan pembangunan Islam dilipat ganda dengan peruntukan pada tahun 2022 berjumlah RM71.13 juta (meningkat RM6.97 dari tahun 2021) dan amat jauh daripada apa yang kerajaan GERAKAN pernah berikan.

Selain itu, orang Cina DAP bersama dengan rakan-rakan dalam Amanah dan PKR turut membangunkan kerajaan Selangor dan Negeri Sembilan pada hari ini di kepimpinan Menteri-menteri Besar, orang Melayu dari Kerajaan Pakatan Harapan.

Rakyat Malaysia dan generasi baru perlu melihat secara rasional dengan maklumat faktual. Anak muda perlu bangkit menolak politik yang berpura-pura dan yang berasaskan perkauman dan kebencian.

Soalan Anak Muda 4: Bolehkah PH mengawal DAP?

Jawapan: Dalam memimpin dan mengurus negara, pemimpin memimpin berdasarkan dasar dan polisi yang dipersetujui bersama. Memimpin negara demokrasi tidak boleh berdasarkan kehendak individu, membuat keputusan secara tangkap muat dan ad-hoc terutama dalam isu utama dan kritikal kepada kepentingan awam.

DAP juga bersama parti-parti lain semasa menyertai Pakatan Rakyat telah membuat Deklarasi Shah Alam pada tahun 2012 dengan berikrar:

  • Mempertahankan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.
  • Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum lain seperti artikel 153 Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
  • Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti artikel 3 dan 11.
  • Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti artikel 152

Kesemua perkara di atas tidak boleh dipinda oleh di Parlimen walaupun mendapat sokongan 2/3 daripada ahli-ahli Dewan Rakyat jika tidak mendapat persetujuan Majlis Raja-raja Melayu. Ini adalah bentuk kawalan yang kuat dan menghalang mana-mana blok politik daripada kaum mana sekalipun untuk membuat pindaan Perlembagaan tanpa perkenan Majlis Raja-raja Melayu.

Dari segi keahlian pula, DAP membuka keahlian parti kepada kaum lain membawa kehadiran ramai cendikiawan Melayu menyertainya. Orang-orang Melayu yang bebas bertanding dalam mesyuarat agung parti tersebut. Terdapat lapan orang wakil rakyat Melayu daripada DAP Berjaya menjadi ADUN dalam PRU14.

Ini menjadikan DAP lebih telus dan terbuka berbanding MCA dan GERAKAN. Sedangkan MCA yang bergabung dengan BN atau GERAKAN yang bersama PN hari ini adalah hanya semata-mata untuk orang Cina.

Soalan Anak Muda 5: Mengapa hanya PH yang beriya-riya bergabung dengan DAP sedang Pakatan lain tidak?

Jawapan Tidak benar. Politik Malaysia tidak membolehkan parti Melayu hanya menjuarai pengaruh kalangan Melayu jika ingin membentuk kerajaan. Parti politk Melayu memerlukan gabungan dengan parti kaum lain untuk mencapai majoriti mudah di Parlimen.

Atas sebab itulah PAS melalui tahaluf siyasi bergabung dengan DAP pada era Pakatan Rakyat. Malahan, PAS membuat pendirian wajib sokong DAP pada PRU13.

Slogan “Menyokong dan mengundi calon kafir akan membawa Muslim ke kekufuran” seperti yang diutarakan PAS pada era 1970-an dan 1980-an tidak lagi berani diulangi oleh PAS pada hari ini. Ini kerana slogan tersebut akan membawa nahas dari segi politik hari ini.

Begitu juga, Tan Sri Mahyuddin Yaasin, Pengerusi Parti Bersatu semasa mendokong Pakatan Harapan pada tahun 2018 telah naik dan turun pentas orang-orang DAP berceramah setelah beliau di buang dari UMNO.

DAP yang hukum mengundinya adalah wajib bagi PAS satu masa dahalu, kini dianggap komunis dan haram pula diundi. Begitu juga DAP yang membantu menaikkan TS Mahyuddin Yaasin tatkala jatuh, dianggap parti perkauman oleh Presiden Parti Bersatu.

Kehidupan di Malaysia tidak akan harmoni jika sentimen perkauman seperti ini terus di mainkan oleh ahli-ahli politik.

Soalan Anak Muda 6: Apa yang patut generasi muda lakukan keadaan seperti ini?

Jawapan: Generasi muda adalah harapan baru Malaysia. Mereka harus lebih celik dan lebih sedar hasil perluasan pembacaan dan pendedahan maklumat.

Pilihanraya umum adalah masa untuk membuat perubahan. Alangkah ruginya sekiranya peluang ini tidak direbut bagi menentukan masa hadapan yang lebih baik. Inilah masanya untuk anak muda dan para pengundi menentukan masa hadapan anda sendiri. Gunakanlah kuasa yang ada di tangan saudara dengan bijak.

Malaysia telah ditakdirkan menjadi negara berbilang kaum dan agama. Kita perlu meraikan dan menghormati perbezaan ini. Tugas kita adalah berusaha mencari formula Malaysia untuk hidup secara harmoni, inklusif seraya menunaikan hak dan keadilan untuk semua bagi membina negara Malaysia yang cemerlang.

Menggunakan kuasa dan kedudukan membolot harta negara untuk kroni dan keluarga sendiri adalah sikap yang tidak amanah kepada bangsa sendiri.

BACA JUGA PH didepan dengan 87 kerusi, 26 kerusi masih jadi rebutan, ramal Ilham Centre

JUGA Tular video lelaki zalim belasah isteri setengah mati, polis sahkan sudah buka kertas siasatan