Tidak dinafikan segelintir anak muda hari ini lebih memilih untuk tidak menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mungkin ada antaranya yang dipengaruhi dengan mentaliti bahawa pendidikan tidak menjamin masa depan.
Tetapi yang pasti, ramai sedang berdepan dengan kekangan kewangan untuk meneruskan pembelajaran. Tiada siapa pun tahu sebab sebenar yang dialami seseorang individu.
Seperti yang dikongsikan seorang perunding latihan yang dikenali sebagai Nik Akmal, data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati lebih 72 peratus rakyat Malaysia memilih untuk tidak melanjutkan pelajaran selepas SPM.
Perkara itu katanya amat membimbangkan kerana biarpun pendidikan tidak mampu menjamin lahirnya individu yang berpelajaran, namun ia dapat memastikan seseorang itu lebih matang dalam membuat keputusan,
“Ini bukan masa nak pertahankan ego kita atau nak bergaduh tak bertempat. Jangan kita lahirkan generasi Malaysia yang tak berpendidikan. Kita kena naikkan dan idolakan orang berpelajaran, kewangan stabil dan bermanfaat pada komuniti.
“Belajar tak sampai degree? Tak apa, masih banyak peluang kemahiran. Yang penting, berpendidikan (educated not just education) Sebab dengan pendidikan kita lebih matang buat keputusan. Kalau kita bijak, tak tengok marketing dan konten bodoh. Kalau kita bijak, tak undi YB bebal,” ciapnya di Twitter.
Dia juga menjelaskan, dengan pendidikan, budaya-budaya jelik tidak akan wujud lagi dalam masyarakat contohnya budaya prank, jenaka rogol, dan persenda agama.
“Galakkan rakyat Malaysia sambung belajar lepas spm sebolehnya.. Kalau para influencer boleh beri galakkan perkara ni, moga wujud kesedaran sikit sebanyak. Moga sampai pada mereka yang perlu tahu,” tulisnya sambil meletakkan tanda pagar sambung belajar lepas SPM.
Perkongsian tersebut mendapat pelbagai reaksi pengguna media sosial. Mereka yakin sebenarnya faktor ekonomi yang parah menjadi punca ramai mula mengejar untuk mencari pendapatan sendiri demi kelangsungan hidup.
Mereka berkata, pendidikan sememangnya penting namun pada akhirnya duit lah yang paling penting untuk memastikan seseorang itu dapat makan.
Bahkan kata mereka, jika meneruskan pengajian dengan pinjaman penuh selama 4 tahun, kadar gaji lepasan ijazah tidak akan mampu membayar segala komitmen termasuk hutang belajar.
“Majoriti daripada kita sedang bergelut meneruskan kehidupan. Banyak dalam kalangan kita yang dibayar dengan tidak wajar dan tidak bekerja. Kita perlu atasi masalah ini dahulu sebelum kita boleh bincang tentang menyambung pengajian tinggi,” komen pengguna Twitter.
“Sebagai lepasan SPM, saya memilih untuk tak sambung belajar. Saya gagal dalam permohonan UPU walaupun keputusan peperiksaan saya cemerlang. Kebanyakan mahasiswa lepasan Diploma yang berhutang dengan PTPTN juga struggle untuk buat pembayaran balik sebab gaji bagi lepasan Degree pun sekurang-kurangnya RM3,000 maksimum. Keluarga saya pun struggle jadi saya memang tak boleh sambung,” ciap pengguna lain.
Baca juga: Faizal Azumu berlakon dalam drama, netizen komen nak juga baling telur dekat Peja!
Baca juga: Kerajaan belanja hampir RM1 juta untuk lawatan rasmi 4 duta khas PM