5 anak muda obesiti korban Covid-19 hari ini

Oleh ARIF ATAN

Lima belia obesiti berusia 20 hingga 35 tahun dengan tiga daripadanya adalah lelaki antara 60 kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

Empat kes kematian belia obesiti terbabit direkodkan di tiga hospital di Selangor iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang dan Hospital Banting.

Satu lagi kematian melibatkan seorang lelaki obesiti berusia 28 tahun di Hospital Tengku Ampuan Najihah, Kuala Pilah.

Hanya satu kematian belia obesiti bukan warganegara membabitkan perempuan berusia 35 tahun dengan jenazahnya dibawa ke Hospital Banting, menurut kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Jumlah kematian akibat Covid-19 setakat jam 12 tengah hari ini terus bertambah kepada 4,944 kes iaitu 0.67 peratus.

Untuk rekod, Malaysia menjadi negara tertinggi di Asia Tenggara menghidapi masalah obesiti dalam kalangan orang dewasa, iaitu 15.6 peratus diikuti Brunei (14.1), Thailand (10) dan Indonesia (6.9).

Mengikut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019, prevalens rakyat negara ini mengalami berlebihan berat badan dan obes menunjukkan trend peningkatan daripada 47.7 peratus pada 2015 kepada 50.1 peratus (2019).

Trend peningkatan itu menunjukkan satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami berlebihan berat badan dan obes.

Dr Noor Hisham sebelum ini berkata, penghidap penyakit kronik lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19 yang lebih serius iaitu mengalami gejala dan komplikasi yang teruk.

Selain itu, warga emas juga adalah kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi dan kematian akibat jangkitan Covid-19 kerana faktor umur dan juga penyakit
kronik.