Kibar bendera putih selepas buntu tiada wang, makanan

Oleh ARIF ATAN

Tempoh panjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran Covid-19 menyesakkan perasaan ramai rakyat. Bukan sedikit kini yang keputusan bekalan makanan dan pada masa sama dihimpit bebanan pelbagai jenis hutang.

Jika lebih daripada 600,000 isi rumah dari golongan berpendapatan pertengahan (M40) pun telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40, apa lagi beban ditanggung mereka yang sudah sedia hidup susah.

Seorang jurukimpal di Kota Iskandar, Johor berusia 39 tahun yang bekerja sendiri tidak terkecuali dibadai PKP.

Bahkan, kelmarin Zulkiflie Samsudin sekeluarga terpaksa berpuasa selepas tiada wang lagi untuk membeli makanan.

Pendapatan bapa kepada dua cahaya mata dengan puteri sulungnya merupakan orang kurang upaya (OKU) kini terjejas teruk.

Sebelum wabak melanda, Zulkiflie masih mampu menyara keluarganya dengan membuat pagar dan mengambil kontrak di rumah orang.

Namun, keadaan semakin sukar ekoran pelaksanaan PKP yang berlarutan. Sudah tiada pilihan lain fikirnya lagi ketika isterinya pula sedang hamil anak ketiga.

Akhirnya, beliau semalam terpaksa mengibarkan bendera putih di pagar depan rumahnya seperti disarankan dalam kempen di media sosial yang sedang hangat diperkatakan.

“Saya dah penat dan tak tahu nak buat apa. Otak buntu tapi bukan cari jalan singkat, hanya berharap ada manusia yang prihatin.

“Semoga Allah permudahkan urusan kita semua. Anak-anak masih kecil lagi termasuk orang rumah sedang mengandung,” tulisnya di Facebook semalam sejurus Perdana Menteri mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

Azam ketika menemui Zulkiflie di kediamannya di Kota Iskandar semalam.

Susulan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar (Nusa Jaya), Sr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya segera menghulurkan bantuan makanan dan kewangan.

“Saya segera mengarahkan Pegawai Pusat Khidmat Dun Kota Iskandar, Ustaz Muhammad Syafiq pergi ke rumah En Zul dan menyampaikan Bakul Makanan dan tunai.

“Mudah-mudahan keluarga En Zul dapat mengharungi masa-masa yang getir ini dengan kesabaran,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Johor.

Dalam masa sama, Ketua Cawangan AMANAH Taman Pulai Indah, Azam Mektar juga tampil segera mendapatkan maklumat dan menyampaikan wang tunai kepada Zulkiflie selepas solat Maghrib semalam.

Azam yang juga Exco Pemuda AMANAH Johor dan AMANAH Nasional itu turut memberitahu seorang demi seorang datang ke rumah Zulkiflie menghulurkan sumbangan semasa kunjungannya semalam.

“Ada yang menghantar sumbangan beras dan ayam basah. Ada yang datang membawa barangan dapur, telur, lampin pakai buang dan pelbagai lagi,” ujarnya.

Difahamkan, tambah Azam, keluarga terbabit turut menerima bantuan pihak surau dan masjid di kawasan tersebut.

“Pihak surau dan Masjid Taman Pulai Indah juga telah memberi sumbangan dan bantuan sebelum ini. Bahkan, pihak masjid ada bayar dua bulan sewa rumahnya ,” maklum Azam lagi.

Kempen kibar bendera putih dilihat sebagai lambang kemarahan dan kekecewaan rakyat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui bersama oleh Bersatu, Pas, Umno, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan lain-lain.

Reaksi awam itu susulan kegagalan kerajaan PN diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin menguruskan pandemik Covid-19 apabila negara masih mencatatkan angka tinggi kes harian melebihi 5,000 kes.

Kempen #BenderaPutih itu juga muncul selepas kerajaan gagal mengelak rakyat daripada terus menjadi mangsa kepada krisis ekonomi, politik dan pentadbiran negara dengan Parlimen masih lagi tidak bersidang walaupun sudah mendapat titah Yang di-Pertuan Agong.

Ustaz Muhammad Syafiq menyampaikan bakul makanan dan bantuan tunai kepada Zulkiflie.