Benchmark gerakan mahasiswa

Oleh ARIF ATAN

[Ini sambungan dari tulisan bertajuk ‘Perginya Sang Pemberani’ sebagai memperingati pemergian Ketua Pemuda Harapan merangkap Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir kerana Covid-19. Beliau meninggal pada usia 34 tahun di Hospital Melaka.]

Gerakan mahasiswa sering dirujuk gerakan mahasiswa zaman 70-an sewaktu dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan gerakan sosialis kampus seperti Hishamuddin Rais.

Demontrasi Baling, Tasik Gong, sering dijadikan benchmark atau tanda aras gerakan mahasiswa di Malaysia. Selepas empat dekad berlaku, gerakan mahasiswa Malaysia telah mengalami anjakan baharu. Shazni Munir adalah antara susuk mahasiswa yang berada dalam proses transisi ini.

Pengorbanan Shazni Munir dalam perjuangan sangat menyentuh hati Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hasan Karim. Beliau mengalir air mata, teresak-esak hingga berhenti seketika percakapannya.

Jalan derita perjuangan Shazni Munir tidak jauh beza dengan kepayahan yang pernah dialaminya. Sememangnya, perjuangan ini menuntut pengorbanan yang tidak sedikit dan sebentar.

Ahli Parlimen yang lebih dikenali sebagai Pak Hasan itu menganggap Shazni Munir sebagai seorang anak muda yang mempunyai kesanggupan tinggi berkorban dalam berjuang, bijak dan memiliki kemahiran orator yang sangat baik. Memang tutur kata Shazni jelas, tepat dan disampaikan secara mudah.

Pak Hasan dengan Shazni Munir adalah dua generasi yang berbeza zaman. Pak Hasan yang pernah menjadi Ketua Pemuda Parti Rakyat Malaysia merasai zaman mahasiswa di Universiti Malaya (UM) sewaktu usia mudanya seperti yang dilalui Shazni Munir.

Shazni Munir adalah permata yang berada dalam lingkaran anak-anak muda tersebut yang mempunyai cita-cita besar terhadap tanah air ini. Pada Adam Adli, susuk Shazni Munir adalah seorang pemimpin yang memberi inspirasi dan telah menjadi tanda aras kepada gerakan mahasiswa negara.

Adam Adli juga satu lagi nama pemimpin mahasiswa yang muncul pada zaman yang lebih kurang sama dan pernah mencetuskan kontroversi di tanah air. Ketika itu, saya bertugas sebagai pensyarah sambilan di UPSI tempat belajar Adam Adli.

Watak dan perwatakan pemimpin dunia seperti Hassan al Banna, Syed Qutb, Malcolm X, Sheikh Ahmad Yasin, Imam Khomeini, Ghandi, Jose Rizal, Che Guevara, Karl Marx dan Martin Luther antara yang memberi inspirasi kepada Shazni Munir.

Majlis bacaan tahlil dan Yasin buat Allahyarham Shazni Munir pada 6 Ogos lalu.

Foto tokoh-tokoh tersebut terpampang dalam laman blogspot milik Shazni Munir. Mereka bukan sekadar memimpin tetapi menggerak dan menginspirasikan pengikut dan masyarakat.

Kata rakan-rakannya, Shazni Munir sering memulakan dan membuat sesuatu dan tidak pernah berhenti melakukan sesuatu yang diyakini benar meski berhadapan banyak halangan.

Ibrahim Sufian daripada Merdeka Centre pernah bekerjasama dengan Shazni Munir serta rakan-rakannya dalam kempen mendaftar pengundi muda.

Baginya itulah kenangan terindah adalah bekerja dengan Shazni Munir. Keyakinan dan ketegasan Shazni Munir terserlah dalam projek tersebut apabila mereka berjaya mendaftarkan lebih 100,000 pengundi muda. Mereka percaya melalui penyertaan pengundi muda akan mengubah politik tanah air.

Tindakan pendakwaan

Apabila berada di UM, beliau menjadi presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan mengetuai demonstrasi bantahan lawatan isteri Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor ke kampus.

Tindakan beliau dan rakan-rakannya menyebabkan dikenakan tindakan pendakwaan di mahkamah. Namun, mahkamah memutuskan tiada prima facie dan mereka dibebaskan.

Shazni Munir juga diamanahkan sebagai Timbalan Presiden GAMIS (Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia) yang menjadikan semua universiti awam sebagai cawangannya di seluruh negara.

GAMIS ketika itu sangat lantang dalam isu-isu semasa tanah air. Pemikiran dan pandangannya sering mendapat tempat dalam media alternatif.

Pada ketika beliau mengetuai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), gerakan mahasiswa terlibat langsung dengan kes UKM4 yang digantung kerana terlibat dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor. Hilman Idham yang mengetuai UKM4 sekarang adalah Adun Gombak Setia.

Dalam masa yang sama juga, beliau mewujudkan hubungan dengan gerakan mahasiswa lain sehingga memimpin gerakan SMM yang menjadi pemangkin gerakan mahasiswa bertaraf nasional dan dianggotai pelbagai kaum dan aliran pemikiran.

Kesempatan inilah meletakkan Shazni Munir pada posisi pemimpin mahasiswa yang memiliki rantaian hubungan yang luas.

Shazni Munir telah memberi makna tentang ‘keberanian’ dalam bertindak. Sesuai dengan kata-kata Rendra, ‘Jangan bicara soal perjuangan, jika takut pada risiko’.

Ini menjadikan Shazni Munir sebagai pemimpin mahasiswa yang diperlukan. Arwah melimpahkan aktivisme mahasiswa tidak sekadar dalam kerangka Lembah Klang tetapi ke seluruh negara.

Apabila saya menulis tentang Shazni Munir, bukan saya bermaksud menulis tentang batang tubuh Shazni Munir semata-mata. Tetapi lebih utama adalah ialah watak pemimpin mahasiswa ketika itu. Rakan seangkatan yang pernah bersama dengan Shazni Munir.

Burhanuddin Helmy pernah berkata, ‘jika cita-cita perjuangan kita merupakan satu bangunan, maka kita semua adalah merupakan bata-bata yang disusun menjadi kesatuan bagi mendirikan bangunan itu’.

Mereka adalah bakal menerajui kepimpinan masa hadapan tanah air. Kumpulan ini telah berjaya memecahkan batas pemikiran perkauman dan kefahaman agama yang sempit.

Gerakan mahasiswa Islam terutama di UM telah memiliki keberanian untuk berbeza pandangan pada zaman kepimpinan Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub di Dewan Pemuda Pas Pusat.

Kawalan terhadap kepimpinan mahasiswa Islam itu semakin longgar pada zaman Pemuda di bawah kepimpinan Nasaruddin Tantawi. Gerakan mahasiswa sedikit demi sedikit membina kekuatan sendiri tanpa kerangka Pemuda Pas. Namun, kepimpinan mahasiswa Islam masih mempunyai hubungan dengan Pas.

Dalam masa yang sama, mereka mewujudkan kerjasama dengan PKPIM, Ikram, Umany, Dema, Jerit, ProM, dan Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Akta Universiti (GMMA) dalam memantapkan gerakan mahasiswa di kampus.

Gerakan mahasiswa Islam mulai meneroka hubungan luar dengan pelbagai kelompok dan tidak terkongkong dalam kerangka Pas. Mereka mewujudkan hubungan dengan parti-parti pembangkang lain seperti PKR, DAP dan PSM. Selain itu juga mereka mempunyai hubungan rapat dengan Suaram, Bersih, Komuniti Jalan Telawi, IDE, IKD, Merdeka Center dan pertubuhan lain.

Wadah perjuangan

Apabila Shazni Munir keluar daripada kampus, beliau bekerja di pejabat Dewan Pemuda Pas Pusat sebelum bekerja di pejabat Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor sebagai Pegawai Eksekutif Media.

Rangkaian hubungannya dengan bekas-bekas kepimpinan mahasiswa seangkatannya menjadi pemangkin dalam gerakannya selepas itu. Beliau memilih AMANAH sebagai wadah perjuangan selepas berlaku perpecahan dalaman Pas selepas muktamar parti itu pada 2015.

Latar belakang gerakan mahasiswa yang dilalui Shazni Munir inilah yang mencorakkan pemikirannya semasa memimpin Pemuda AMANAH dan Pemuda Pakatan Harapan (PH).

Malangnya, Shazni Munir mempunyai masa pendek untuk menggarap segala potensi Pemuda AMANAH untuk lebih terserlah.

Tuhan lebih menyayangi Shazni Munir lagi. Tinggallah anak-anak muda lain dalam AMANAH dan PH mengibarkan panji perjuangan rakyat di puncak jaya nanti.

Shazni memiliki rantaian hubungan dengan gerakan mahasiswa dan anak muda yang luas.