Ruang AMANAH terbuka luas mencakupi anak muda, NGO

Oleh ARIF ATAN

Sudah enam tahun usia penubuhan AMANAH sebagai parti Islam yang inklusif di negara ini sekali gus mempunyai potensi luas untuk diterima segenap lapisan masyarakat.

Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang berkata, golongan belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) merupakan segmen signifikan bagi perjuangan AMANAH.

“Kita sekarang mempunyai saluran luas untuk mengembangkan AMANAH kepada anak muda termasuk golongan pengundi 18 tahun.

“Kita juga perlu meneruskan usaha mengembangkan sayap kepada NGO. AMANAH contohnya, sebelum ini menubuhkan Akademi Nadwah Ulamak Nahdah Jadidah (NUNJI) khusus untuk golongan agamawan,” ujarnya.

Bekas Naib Presiden Pas itu berkata demikian dalam program bual bicara, “The Untold Story: 6 Tahun Penubuhan AMANAH” menerusi siaran langsung di Facebook Pemuda Amanah Wilayah dan saluran Orenshow di Youtube.

Turut menjadi panel Jawatankuasa Pimpinan AWAN Nasional, Ustazah Datuk Jamilah Ibrahim yang juga bekas Ahli Dewan Negara dan Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli merangkap Ahli Parlimen Lumut.

Menghuraikan lanjut, Ustaz Ahmad Awang juga berkata, AMANAH turut boleh memanfaatkan hubungan luas dengan NGO bukan Muslim yang berorientasikan kepentingan masyarakat.

Bahkan, ujarnya, tempoh pandemik Covid-19 dengan dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga masih memberi ruang untuk segenap peringkat dalam AMANAH hingga ke kawasan berperanan membantu rakyat yang memerlukan.

Paling penting, tegasnya, AMANAH sesuai dengan namanya beramanah dan menjunjung nilai integriti dalam perjuangan Islam.

“Kita parti Islam tetapi tidak menunggang Islam. Tidak seperti ada satu parti itu, apabila tiba kepentingan dia, yang dulu haram, sekarang jadi halal,” tambahnya lagi.

LANJUT MENYUSUL