Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung baru-baru ini tidak menunjukkan pertambahan kekuatan Barisan Nasional (BN) sebaliknya parti itu mendapat manfaat daripada perpecahan yang berlaku dalam pakatan pembangkang.
Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, keputusan PRN Johor dengan jelas menunjukkan jumlah undi diperoleh pembangkang melebihi 200,000 undi jika dibandingkan dengan BN.
Jumlah undi sebanyak 200,000 itu jika dibahagi kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) secara purata, pembangkang mendapat hampir 4,000 undi mengatasi BN.
Justeru katanya, selain peratusan keluar mengundi yang begitu rendah, terutama sekali dalam kalangan penduduk bandar dalam kalangan masyarakat Tionghua juga penyebab pembangkang kalah.
“Saya ingin memberi ingatan kepada semua pihak, jika kita terus berpecah dalam menghadapi BN, hasilnya kita akan ‘makan angin’ beramai-ramai selepas PRU-15 nanti,” katanya.
“Bagaimanapun, AMANAH yang bertanding di atas tiket Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan PRN Johor dengan hati terbuka,” katanya dalam kenyataan.
PRN Johor semalam menyaksikan BN memenangi dua pertiga majoriti DUN selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi menewaskan PH yang hanya memperoleh 11 kerusi manakala parti komponennya, PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri, hanya memenangi satu kerusi.
Selain itu, Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi diikuti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) meraih satu kerusi.