Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik keputusan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bahawa tiada pembubaran DUN bagi kerajaan PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sehingga tamat tempoh pada 2023.
Ketuanya, Hasbie Muda berkata, keputusan tersebut bertepatan dengan realiti dihadapi majoriti rakyat pada masa ini yang amat terpukul dengan wabak Covid-19 serentak dengan lonjakan kos sara hidup.
“Pemuda AMANAH Nasional menyambut baik keputusan tersebut bagi memberikan ruang untuk kerajaan fokus kepada pemulihan ekonomi dan Covid-19.
“Ia juga dapat menjimatkan kos sebagaimana kos RM96 juta dibelanjakan oleh SPR untuk mengadakan PRN Johor walhal kesannya hanya untuk tukar MB daripada Hasni kepada Onn Hafiz Ghazi,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Semalam, Majlis Presiden PH berkata, tiada pembubaran DUN di tiga kerajaan ditadbir PH mengambil kira keadaan ekonomi rakyat yang masih sangat terkesan akibat banjir besar, pandemik Covid-19, pendapatan yang berkurangan serta kos sara hidup yang meningkat mendadak.
“Majlis Presiden menegaskan bahawa fokus segala usaha pada waktu ini harus ke arah menyelamatkan rakyat dan menghidupkan semula ekonomi,” menurut kenyataan bersama empat parti gabungan itu.
Kenyataan bersama tersebut dibuat Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden AMANAH Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berbelanja sebanyak RM141 juta bagi melaksanakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Kos tersebut merangkumi perolehan pembelian dan sewaan peralatan pilihan raya, kenderaan, pembangunan ICT, logistik dan elaun petugas serta pelbagai keperluan dan peralatan mengikut garis panduan pencegahan Covid-19.
Perbelanjaan SPR itu bagi PRN Melaka dan PRN Johor masing-masing berjumlah RM45 juta dan RM96 juta.