Adam Adli bertanding calon Ketua AMK

Oleh ARIF ATAN

Bekas aktivis mahasiswa, Adam Adli Abdul Halim bertanding sebagai calon Ketua AMK bagi penggal 2022 – 2025.

Beliau akan bergandingan dengan Exco AMK Perak, Muhammad Kamil Abdul Munim yang bertanding jawatan Timbalan Ketua manakala Danish Hairudin dan Pravin Murali sebagai calon Naib Ketua.

Mereka akan menentang seorang lagi bekas aktivis mahasiswa, Fahmi Zainol dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat yang masing-masing bertanding jawatan Ketua dan Timbalan Ketua AMK.

Menurut Adam, pemilihan AMK kali ini adalah proses demokrasi yang perlu diraikan dengan semangat kekeluargaan dan setiakawan.

“Sudah digariskan bahawa matlamat besarnya adalah melaras, membina, dan memperkuatkan parti, maka kita bertanggungjawab untuk memastikan persaingan terus berjalan dengan sihat dan harmoni,” katanya.

Dalam masa sama, Adam yang pernah digantung pengajian oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selama lima tahun itu menyeru agar pemilihan sayap anak muda PKR tersebut dijadikan sebagai peluang untuk menampilkan buah fikiran dan pandangan-pandangan segar terkait hala tuju serta dasar perjuangan parti.

“Biar ia juga menjadi ruang untuk kita membincangkan hal ehwal dan jalan keluar bagi permasalahan rakyat hari ini, agar anggota dan masyarakat di luar juga beroleh manfaat daripada proses pemilihan ini.

“Selamat maju jaya kepada semua teman yang turut ikut bertanding di peringkat akar umbi mahupun pusat.

“Semoga dipermudahkan dan membawa kebaikan berpanjangan buat perjuangan,” tambahnya lagi menerusi hantaran di Facebook.

Untuk rekod, Adam sebelum ini merupakan aktivis yang memimpin gerakan pelajar dalam pelbagai isu termasuk dana Pinjaman Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan penempatan bakal guru.

Baca Adam Adli antara lebih 20 belia sertai PKR

Baca Pembeli tertipu beli roti john hangit siap bungkus