Seorang lelaki mengugut jemaah menggunakan parang panjang selepas berang tidurnya terganggu kerana pembesar suara masjid yang mengejutkan penduduk setempat untuk bangun bersahur.
Lapor Kompas.com, kejadian itu berlaku di Masjid Al – Mu’minim di Tanjung Uma, Batam, Kepulauan Riau kelmarin sehingga menyebabkan individu tersebut ditahan polis bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Lubuk Baja, Budi Hartono berkata, suspek mengakui membawa senjata tajam ke masjid untuk mengugut jemaah supaya tidak terlalu bising sehingga mengganggu tidur orang lain.
“Dia malah mengakui tidak mempunyai niat untuk mencederakan mana-mana pihak, cuma mahu beri amaran,” katanya.
Walau bagaimanapun, Budi memaklumkan kes tersebut sudah diselesaikan antara suspek dengan pihak pengurusan masjid apabila kedua-dua pihak sudah berbincang dan saling bermaafan.
Terdahulu, video suspek membawa parang dan memaki hamun jemaah masjid berdurasi 1.55 minit itu tular dalam media sosial.
“…ada hadnya (suara),” kata lelaki bertopi dan bertutup mulut dan hidung itu sejurus masuk ke ruang utama masjid.
Seorang lelaki berkopiah putih kemudiannya antara lain menjawab, “itu (bunyi pembesar suara yang kuat) biasa…” serentak beberapa lelaki lain datang berkerumun sebelum salah seorang bertempik dan cuba merampas parang itu.
Ekoran itu, berlaku pergelutan antara beberapa jemaah dan suspek sebelum keadaan kembali reda.
Baca Imam berjubah solat tarawih ditahan merempit, beraksi Superman jam 2 pagi