Malaysia Dateline

Imam berjubah solat tarawih ditahan merempit, beraksi Superman jam 2 pagi

Lucu apabila seorang imam berjubah yang baru selesai mengimamkan solat tarawih ditahan polis jam 2 pagi tadi kerana merempit dan beraksi Superman di Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), di Shah Alam.

Lelaki berusia 20 tahun yang juga bekas pelajar tahfiz tersebut sebelum itu menjadi imam solat tarawih di sebuah surau di Klang.

Dia dilapor melakukan aksi rempit bersama rakannya dalam keadaan masih berpakaian jubah berwarna biru tua.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aksi dua penunggang itu dikesan menerusi Ops Samseng Jalanan oleh sepasukan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 2 pagi.

“Pemantauan mendapati dua penunggang itu melakukan aksi superman, bersaing sesama sendiri dan zig-zag yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Polis telah menyita dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Honda RS150R untuk tindakan lanjut,” dipetik Sinar Harian hari ini.

Katanya, kedua-dua penunggang berusia 20 dan 22 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan.

Dalam operasi berasingan, JSPT Bukit Aman juga menahan enam penunggang motosikal selepas dikesan melakukan lagak samseng jalanan di Lebuhraya Persekutuan dan Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Beliau memaklumkan kesemua penunggang berusia 14 hingga 22 tahun itu masing-masing telah dibawa ke IPD Shah Alam dan IPD Klang Selatan.

“Polis akan terus melaksanakan operasi bagi mengekang kegiatan samseng jalanan yang boleh mengundang risiko kepada diri serta pengguna jalan raya lain,” tambahnya lagi.

Baca Cadangan larangan remaja keluar malam bukti komitmen kerajaan kepada generasi muda

Baca Anak hanya puasa separuh hari, Mufti beri penjelasan hukum puasa bagi kanak-kanak