AMANAH seru parti pembangkang perbetul sikap, ambil iktibar kalah siri PRN

Oleh ARIF ATAN

AMANAH hari ini menyeru semua parti pembangkang untuk mengambil iktibar daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu dalam satu kenyataan hari ini menegaskan semua parti pembangkang perlu membetulkan sikap dan pendekatan supaya strategi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Jangan benarkan kekalahan-kekalahan ini menyebabkan kita bersikap pesimis atau negatif tetapi sebaliknya mengambil pengajaran dan membetulkan kelemahan yang terserlah,” menurut kenyataan parti itu.

Dalam masa sama, AMANAH menegaskan strategi ‘coalition building’ antara parti itu dan PH serta semua parti pembangkang perlu dipergiat dan penyampaian mesej yang jelas akan mampu meraih kepercayaan pengundi untuk memenangi pilihan raya ini.

“AMANAH bersedia memainkan usaha utama bagi mengembalikan kesatuan dan kebersamaan parti-parti pembangkang untuk menyertai pilihanraya ini secara bersama bagi menentang Barisan Nasional (BN).

“AMANAH beranggapan bahawa usaha untuk menafikan BN kembali berkuasa adalah matlamat terpenting dalam PRU-15 kerana implikasi kemenangan BN adalah terlalu buruk terhadap negara dan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Berhubung PRU-15, AMANAH memaklumkan pihaknya kini mempersiapkan seluruh jentera parti untuk menghadapinya yang dijangka berlangsung dalam tempoh tahun ini atau awal tahun depan.

“Penyertaan AMANAH dalam pilihan raya ini adalah untuk menang dengan tujuan membentuk sebuah kerajaan bersih rasuah dan bersifat berkebajikan.

“AMANAH yakin bahawa PRU-15 boleh dimenangi dengan strategi dan messaging yang tepat,” kata kenyataan itu lagi.

Baca ‘Nak projek kena jumpa orang politik sebab akan diperkenal kepada menteri’